KUALA LUMPUR – Sesetengah orang lebih suka mencari buku-buku terpakai untuk dibaca yang mempunyai nilainya tersendiri.
Bagi mereka buku-buku ‘second hand’ ini mempunyai nilai klasik kerana
ia bersifat langka atau sukar lagi ditemukan pada era kemajuan
teknologi maklumat sekarang.
Seorang penggemarnya, Ahmad Tajuddin Abdullah berkata beliau tidak
kisah meskipun buku-buku lama ini kelihatan lusuh dan kertasnya telah
bertukar warna perang dengan beberapa coretan terdapat di sana sini.
“Buku-buku lama mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Selain
isinya, bau dan kulit luarnya nampak klasik. Harganya pula lebih murah
berbanding buku baharu di pasaran,” kata pemilik 500 buku terpakai ini.
Pelajar Sarjana Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mengumpul buku terpakai sejak berusia 19 tahun.
“Bayangkan ada buku yang mempunyai tandatangan penulisnya atau
contengan nota kecil oleh pembaca (pemilik) terdahulu. Ini bagi saya
menjadikan buku tersebut semakin bernilai.
“Apatah lagi, jika pemilik sebelum ini merupakan seorang profesor
atau seseorang yang dikenali ramai, ia mengujakan bagi saya,” katanya.
Terdapat beberapa kedai buku terpakai yang sering menjadi kunjungan
peminat seperti Pay Less Books di pusat beli-belah Ampang Point, Ampang,
Selangor; Junk Book Store, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur; Book
Xcess, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor; Novel Hut, Ipoh dan Pasar
Chowrasta, George Town, Pulau Pinang.
Namun bagi Muhamad Hafifi Mokhtar, pelajar Sarjana Muzik dari
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kebanyakan buku-buku
terpakainya dibeli secara dalam talian kerana lebih mudah.
“Namun sekiranya sempat, saya akan singgah di kedai buku terpakai
untuk membelek dan membelinya. Selalunya saya mengambil masa yang lama
untuk memilih,” katanya yang memiliki hampir 200 buah buku terpakai.
“Antara buku termahal pernah saya beli dan miliki ialah novel
bertajuk ‘Atheis’ karya penulis Indonesia, Achdiat Karta Mihardja
cetakan tahun 1973, dengan harga RM10,” katanya.
Seorang penjual bukan sepenuh masa, Nik Li Raja Deraman berkata
beliau menjual buku terpakai secara dalam talian kerana lebih
menjimatkan tanpa perlu membayar sewa premis, membolehkan bukunya dijual
dengan harga lebih rendah.
“Buku terpakai paling mahal saya jual berharga RM70 iaitu novel
‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ karya Hamka cetakan Pustaka Antara
sekitar 1960-an,” katanya dan menambah buku paling mahal pernah
dibelinya ialah ‘Hang Tuah’ berharga RM200 terbitan Balai Pustaka
Indonesia cetakan tahun 1958.
Nik Li beroperasi sejak 2010 dan memperoleh bukunya daripada pelbagai
sumber termasuk perpustakaan yang mahu melupuskan buku lama, kedai buku
yang menjual stok lama mereka dan koleksi individu tertentu.
Pengurus audit syarikat swasta ini yang juga Admin grup Facebook
Kolektor Buku-buku Semalaysia berkata grupnya kini disertai hampir 4,000
pemilik akaun yang meminati buku-buku terpakai.
Beliau menggunakan Facebook untuk bertukar-tukar pandangan dan menjual-beli buku terpakai bersama pemilik akaun yang lain.
Pengurus Books Premier League, Rosmawati Abdul Manaf berkata
pelanggannya termasuk dari Itali dan Thailand yang begitu menggemari
buku terpakai.
Beliau yang menjalankan perniagaan sejak 2013 berkata pelanggannya boleh juga memesan secara dalam talian.
Rosmawati pernah menjual buku karya Rudyard Kipling cetakan 1940 dengan harga RM40. – BERNAMA