SHAH ALAM – Impian seorang ibu untuk melihat anaknya bergelar ustazah
hancur berkecai apabila anak bongsu daripada empat beradik itu didera
mental dan fizikal oleh sekumpulan pelajar senior di sebuah madrasah di
Puchong, di sini.
Mangsa yang berusia 8 tahun didakwa dibuli dengan teruk hingga menyebabkannya sering menangis dan trauma sampai ke hari ini.
Dia dikatakan dipukul dengan rotan, ditendang di kepala, diikat di bahagian tangan malah alat sulitnya turut ditumbuk.
Lebih malang lagi, kanak-kanak tersebut dipaksa menelan cicak setiap
malam Jumaat selepas pelajar senior melastik haiwan terbabit.
Kejadian dipercayai tidak disedari pihak madrasah kerana pelajar
senior memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menjerit dan tidak
memberitahu kejadian kepada sesiapapun.
Tak dibenarkan jumpa anak 44 hari
Ibu mangsa, Rozana (bukan nama sebenar), 43, berkata, pada mulanya
dia disyorkan mendaftarkan anaknya ke madrasah itu oleh seorang rakan
baik yang turut menghantar anak belajar agama di situ.
“Lagipun anak saya ada beritahu yang dia teringin nak belajar di
madrasah macam kakak dan abangnya. Lepas tu saya buat permohonan dan
anak saya diterima masuk,” katanya.
Menurut Rozana, ketika mendaftarkan kemasukan anaknya pada 12
Disember tahun lepas, pihak madrasah ada memberitahu ibu bapa tidak
boleh bertemu atau menghubungi anak dalam tempoh 44 hari bagi tujuan
menyesuaikan diri.
Rozana dan Azman menunjukkan keadaan anak mereka sebelum (kiri) dan selepas menuntut di madrasah tersebut. |
Rozana reda apabila dimaklumkan dia tidak boleh bertemu anaknya meski
perasaan rindu menebal ketika menghantar pakaian seminggu selepas
pendaftaran.
“Disebabkan tak dibenarkan jumpa, saya selalu hubungi madrasah tanya
keadaan anak. Ada satu hari saya cuba saja-saja pergi dengan kawan tapi
tetap tak dibenarkan masuk. Kawan saya masuk jumpa anak dia, jadi saya
pesan tolong tengok-tengokkan anak saya.
“Tapi bila keluar dari asrama, dia menangis. Dia tak nak cerita apa yang berlaku,” jelas Rozana.
Trauma sampai mengigau
Hanya selepas 44 hari tempoh ‘berpantang’ berakhir, pihak madrasah
akhirnya menghubungi dan meminta dia mengambil anaknya kerana cuti
sekolah selama sembilan hari.
“Hari itulah baru saya tahu anak saya kena buli dengan senior. Masa
saya datang ambil dia demam, bibir pula pecah-pecah dan terus menangis
bila nampak saya. Dalam kereta barulah anak saya ceritakan bagaimana dia
kena buli dengan teruk,” katanya.
Tambah Rozana, apa yang menyedihkan, anaknya diheret dari asrama ke
bilik ustazah hingga bercalar di lutut kerana enggan mengurut dan
memicit kaki pelajar senior pada waktu malam.
“Anak saya dipukul, ditendang, ditumbuk di perut, ditolak ke dinding
dengan keadaan tangan terikat dan kepalanya dihentak. Mereka tanpa belas
kasihan turut menyiku bahagian kemaluan anak saya sampai dia mengalami
keputihan hingga sekarang,” katanya.
Rozana mendakwa kecewa dengan pengurusan madrasah yang seolah-olah mahu lepas tangan dan tidak mempedulikan apa yang berlaku.
“Saya masukkan anak saya ke madrasah ini agar dididik dengan baik
tapi lain pula yang jadi. Anak saya trauma sampai selalu mengigau sambil
sebut kakak dan ustazah nak pukul dia. Sekarang dia dah fobia nak pergi
sekolah dan akan jadi takut kalau nampak orang bergaduh.
“Memanglah perkara ni tak berlaku depan mata kami tapi berdasarkan
cerita anak dan laporan perubatan memang menunjukkan anak saya
dikasari,” katanya.
Bapa segera berhentikan anak
Dalam pada itu, bapa mangsa, Azman (bukan nama sebenar), 49, pula menggesa supaya anaknya diberi pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, dia dimaklumkan pelajar yang membuli anaknya masih
bersekolah seperti biasa di madrasah tersebut meskipun polis sudah
mengambil keterangan lima daripada 15 orang yang disyaki terlibat dalam
kejadian buli.
“Saya dah berhentikan anak saya daripada terus belajar di situ sebab
tak mahu perkara lebih buruk berlaku. Saya memang kesal sebab pengetua
seperti mahu tutup kes dan pernah tawarkan sejumlah wang tunai sebagai
ganti rugi dan minta kes tersebut tak dipanjangkan.
"Anak saya didera mental dan fizikal, dia perlu jalani rawatan terapi
untuk pulihkan tekanannya.
"Saya mahu pengadilan untuk anak saya dan
minta mereka yang membulinya dikenakan hukuman setimpal," katanya yang
membuat empat laporan di Balai Polis Putra Heights berhubung kejadian
malang menimpa anaknya itu.
Azman berkata, dia juga mengambil keputusan mendedahkan perkara ini
kerana tidak mahu ada kanak-kanak lain yang berniat belajar di madrasah
itu menjadi mangsa.
Tambahnya, jika masih tiada apa-apa tindakan, pihaknya akan membawa
perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk
menuntut keadilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan daripada ibu bapa mangsa.
Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan kes tersebut masih dalam siasatan pihaknya.
“Kes itu sudah lama berlaku (Januari) namun ibu bapa mangsa ada
membuat beberapa penambahan laporan polis beberapa hari lalu,” katanya. – SINAR HARIAN