JITRA - Ibu bapa dan guru disaran mendidik dan menerapkan konsep 2R
iaitu 'Respect dan Responsibility' (Hormat dan Tanggungjawab) dalam
kalangan anak-anak atau pelajar bagi membendung gejala buli di sekolah.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad
Tajuddin Jab berkata, dua aspek tersebut jika diamal dan dilaksana oleh
pelajar boleh membantu menangani gejala buli yang dilihat semakin
berleluasa sekarang.
"Pelajar senior perlu sayang dan hormat pelajar junior, begitu juga
junior hormat senior, melalui hormat maka kita boleh wujudkan suasana
harmoni dan melalui tanggungjawab, pelajar akan lebih bertanggungjawab
terhadap setiap perbuatannya," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah
Cemerlang Transformasi Pendidikan Sekolah-Sekolah Kodiang, dekat sini
hari ini.
Baru-baru ini, seorang pelajar Muhammad Ammar Aqil Zainudin, 13, dari
Taman Ria Mesra, Gurun mendakwa dia dipukul oleh kira-kira 30 pelajar
senior di sebuah sekolah agama di Pendang, dari 12 tengah malam hingga
1.30 pagi di bilik asrama pelajar senior.
Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya memandang berat kes buli yang berlaku
di mana-mana sekolah dan setiap sekolah mempunyai prosedur operasi
standard (SOP) jika berlaku kes berkenaan.
Beliau berkata tugas-tugas berkaitan disiplin pelajar juga tidak
seharusnya diletakkan di bahu guru disiplin semata-mata, sebaliknya guru
dan ibu bapa perlu berganding bahu dalam menangani hal tersebut.
"Ibu bapa perlu bincang dengan baik jika berlaku sebarang masalah, tak
perlu kepada pihak lain seperti polis dan sebagainya...semua perkara
boleh diselesaikan secara rundingan," katanya. - Bernama