Cabaran Dalam Melaksanakan Hudud

ADA kisah benar yang diceritakan seorang us­­­taz yang mungkin boleh dijadikan renungan oleh kita. Kisah berkenaan se­orang artis terkenal yang penampilan sangat seksi dengan pakaian men­jolok mata.

Selepas habis satu program di sebuah stesen televisyen, artis berkenaan terkejut besar setelah komputer riba miliknya yang berharga ribuan ringgit yang ditinggalkan dalam kereta lesap dicuri.

Dalam keadaan amat marah, artis itu terus meluahkan ungkapan kepada ustaz berkenaan yang kebetulan berada di tempat kejadian: “Ustaz bila lagi nak buat hudud supaya boleh dipotong tangan pencuri ini.”

Pengajaran daripada kisah ini adalah rata-rata umat Islam di Malaysia tidak kira sama ada mereka taat mengerjakan suruhan agama atau sebaliknya, tidak akan menentang jika hukum hudud dilaksanakan.

Sehubungan itu, apakah faktor yang menyebabkan hukum hudud masih tidak dilaksanakan walaupun umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini menyokongnya?

Malah kerajaan Kelantan sendiri pernah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) yang mengandungi hukum hudud, qisas dan takzir; tetapi segala yang terkandung dalamnya tidak pernah dilaksanakan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, walaupun enakmen itu diluluskan pada 1993, ia tidak boleh dilaksanakan kerana ada kesalahan iaitu membunuh, mencuri, merompak, merogol dan meliwat terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Bagi kesalahan dalam enakmen ini yang terletak dalam bidang kuasa negeri seperti zina, menuduh orang berzina, meminum arak dan murtad juga tidak boleh dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Akta ini mengehadkan hukuman yang boleh ditetapkan oleh badan perundangan negeri hanya kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Bicara Persada Ke-19 bertajuk Pelaksanaan Hudud Peluang dan Cabaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Dua lagi ahli panel ialah Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharuddin Mat Isa dan Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim.

Menurut Abdul Hamid, walaupun kerajaan Kelantan telah membuat pindaan kepada enakmen yang dibentang semula pada 18 Mac lalu, semua masalah itu masih lagi wujud dan tidak diselesaikan.

“Oleh itu, apa yang saya boleh katakan ialah pelaksanaan hukum hudud di negara ini akan melalui ‘jalan kampung’ dan bukannya ‘lebuh raya’ kerana segala masalah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.

Mengenai cadangan Pas untuk membawa rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, beliau berkata, langkah itu hanya akan membolehkan pelaksanaan kesalahan jenayah melibatkan zina, menuduh orang berzina, meminum arak dan murtad yang terpakai hanya kepada orang Islam.

“Jika Pas ingin melaksanakan hukuman hudud bagi kesalahan yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan misalnya membunuh, mencuri, merompak dan juga bagi kesalahan qisas dan takzir, maka perlulah mendapat kebenaran Parlimen terlebih dahulu.

“Jika Parlimen membenarkannya, hukum hudud ini mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam selaras dengan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.

“Mahkamah yang akan membicarakan kes-kes ini ialah mahkamah sivil kerana mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nasharuddin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas menegaskan, ketakutan bukan Islam terhadap hukum hudud berpunca kerana orang Islam tidak mempromosikan hukum itu dengan betul.

“Ada disebut seseorang itu akan disebat 100 kali jika berzina. Mereka tidak diterangkan bahawa sebatan itu cukup ringan berbanding sebatan di penjara Kajang sekarang apabila hanya dengan dua kali dirotan sudah cukup untuk membuat daging punggung terkeluar.

“Saya dapati kalimat hudud telah diserabutkan oleh kita sebagai orang Islam sehingga memberikan persepsi yang begitu negatif terhadap undang-undang jenayah Islam ini.

“Yang mereka lihat apabila dilaksanakan sahaja hukum hudud, pertama sekali, yang mereka bimbang ialah potong tangan dan direjam sampai mati, padahal standard pembuktian dalam Islam cukup tinggi, mesti sampai ke peringkat yakin. Kalau ada syubhah, hudud tak boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Izhar berkata, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa sehingga wujud cacat cela yang memberikan imej negatif kepada Islam.

“Ini bukan bermaksud kita hendak mempertikai hukum hudud kerana hudud tak boleh dipertikai. Jangan kata, potong tangan habis orang Malaysia tak ada tangan.

“Kita tak pertikaikan undang-undang, tetapi kita nak mempertikaikan bagaimana cara pelaksanaannya, betul atau tak betul. Sama seperti kita tidak boleh mempertikaikan ibadat haji, tapi kita boleh pertikaikan Tabung Haji,” ujarnya.

Tambah beliau, tafsiran yang dibuat oleh ulama muktabar jelas menyatakan sesebuah negara itu tetap diiktiraf sebagai negara Islam walaupun tidak melaksanakan hukum hudud kerana undang-undang jenayah Islam itu hanya sebagai pelengkap.

“Sesebuah negara masih dianggap sebagai negara Islam jika ditadbir pemimpin yang majoriti beragama Islam, umat Islam mampu melaksanakan ibadat secara bebas dan kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan undang-undang yang berkaitan dengan syariat termasuk hukum hudud,” katanya. -Utusan