Caj Perkhidmatan 10%: Wajibkan Pemilik Hotel, Restoran Dapatkan Notis Pengesahan - FOMCA

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhd Yusof Abdul Rahman menunjukkan pewangi bawah lengan beserta resit pembelian selepas harga 'GST' pada operasi Pemantauan Pematuhan 'GST' di sebuah pasaraya di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Pemilik hotel dan restoran hendaklah diwajib mendapatkan notis pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus.

Mencadangkan demikian Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ini penting bagi mengelakkan peniaga memperdaya pengguna dengan mempamerkan Perjanjian Bersama (CA) palsu di premis mereka.

(CA adalah perjanjian dicapai antara majikan dan pekerja di premis masing-masing).

“Untuk lebih selamat dan diperakui sah, peniaga perlu mengemukakan CA mereka kepada KPDNKK terlebih dahulu sebelum notis pengesahan diberikan seterusnya dipamerkan di premis mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan terhadap pematuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sebuah pusat beli belah di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Pada Isnin, KPDNKK mengumumkan bahawa pengurusan hotel dan restoran yang mahu mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus wajib mempunyai dan mempamerkan CA berkenaan.

Kementerian itu juga bercadang untuk memperkenalkan pensijilan khas kepada hotel dan restoran yang boleh mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna untuk memudahkan mereka mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Sementara itu, Mohd Yusof meminta peniaga mempamerkan harga asal sesuatu barang di resit bayaran bagi memberi maklumat kepada pengguna.

“Maksudnya harga yang diletakkan itu telah dimasukkan dengan GST dan jumlah keseluruhan, sedangkan, sepatutnya mereka perlu meletakkan harga asal terlebih dahulu selepas itu dicampur dengan GST enam peratus dan harga keseluruhan. Jadi harga itulah yang perlu dibayar pengguna,” katanya.

Beliau berkata hasil pemantauan hari ini juga, pihaknya mendapati ada premis jualan yang masih tidak melabelkan barangan sama ada dikenakan GST atau tidak.

Sepatutnya label enam peratus GST dan kosong peratus GST perlu dipamerkan pada tanda harga agar pengguna mendapat maklumat tentang barangan tersebut, katanya. – BERNAMA