KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi (telco) telah bersetuju untuk
mengurangkan caj perkhidmatan jalur lebar mereka sekurang-kurangnya enam
peratus daripada harga asal bagi menggalakkan penggunaan internet dalam
kalangan orang ramai.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek berkata perkara itu diputuskan setelah beberapa siri
perbincangan dengan pihak telco diadakan, dan keputusan itu akan
diumumkan secara rasmi dalam masa sebulan.
“Saya rasa dalam konteks negara yang bersetuju dengan pasaran bebas,
harga yang murah perlu ditawarkan kerana kita mahu pengguna yang ramai,
boleh dinikmati oleh golongan muda dan tidak perlu berpendapatan tinggi
untuk menikmati perkhidmatan jalur lebar,” katanya kepada pemberita selepas
majlis pra-pelancaran ‘Content Malaysia Pitching Centre’ di sini hari
ini.
Beliau berkata di samping caj yang berpatutan, syarikat telco juga
perlu melabur kembali untuk perbelanjaan pembangunan dalam meningkatkan
mutu perkhidmatan yang disediakan.
“Sebagai contoh, di mana tempat yang kurang menara pemancar perlu
ditambah supaya perkhidmatan jalur lebar dapat diperluaskan dengan
menambah baik kelajuan internet,”katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pusat sehenti “Content Malaysia
Pitching Centre” yang terletak di bangunan Platinum Sentral, KL Sentral
itu merupakan inisiatif kementerian dalam merangsang dan mencambah
idea-idea baharu bagi semua kandungan kreatif.
Pusat itu akan memberi peluang kepada generasi muda dalam memberikan
pendapat dan pemangkin ke arah pencambahan idea yang sejajar dengan
perkembangan dunia yang semakin pesat seiring dengan teknologi terkini.
“Ia juga bertujuan memudahkan penggiat industri serta generasi muda
untuk memohon dana-dana di bawah satu koordinasi sehenti serta menjadi
tempat tayangan filem, kelas lanjutan dan pelbagai aktiviti kreatif
dapat dijalankan di sini,” katanya.
Ahmad Shabery dalam ucapan perasmiannya berkata walaupun saiz pasaran
kandungan kreatif di Malaysia bernilai RM7 bilion, hanya 15 peratus
sahaja melibatkan kandungan tempatan.
Untuk itu, cabaran paling besar sekarang ialah untuk mendidik
masyarakat untuk berhadapan dengan dunia digital baharu, katanya. –
BERNAMA