"Captain America" Pecah Rahsia...

Menerusi satu temubual, salah seorang pelakon utama iaitu Chris Evans yang membawa watak Captain America telah menceritakan serba sedikit tentang episod seterusnya dalam filem Avengers ketiga dan keempat.

Melalui wawancara bersama majalah Esquire, Evans berkata, dia akan memulakan penggambaran sekuel Captain America iaitu Captain America – Civil War sebelum meneruskan penggambaran Avengers.

“Saya akan mula penggambaran Captain America: Civil War dalam beberapa minggu, kemungkinan selesai sekitar bulan Ogos atau September.

“Kemudian saya akan berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri dan bersenang-senang.

“Selain itu, saya akan memulakan penggambaran siri Avengers yang seterusnya Infinity War pada suku ketiga, musim gugur atau musim dingin 2016.

“Untuk penggambaran siri seterusnya Avengers ini saya memerlukan masa sembilan bulan kerana ia melibatkan dua buah filem sekaligus,” katanya.

Berdasarkan maklumat, filem Avengers seterusnya berjudul Infinity War part 1 dan dijadualkan ditayang pada 4 Mei 2018, manakala sekuelnya Infinity War Part II pada 3 Mei 2019.

Walaupun plot cerita masih belum didedahkan, namun ada ura-ura berkata, terdapat beberapa superhero baru yang akan diketengahkan seperti Quicksilver, Falcon, War Machine dan Scarlet Witch.

Mereka semua akan berdepan dengan musuh terbaru yang diberi nama Thanos. -Kedahnews.com