Cara Kreatif Pelukis Jalanan Ceriakan Gelandangan

SKID Robot menggunakan bakat kreatifnya untuk menceriakan golongan gelandangan dengan melukis katil, tingkap dan perabot pada tembok tempat mereka tidur.
Seorang pelukis jalanan menggunakan bakat kreatifnya untuk menceriakan golongan gelandangan dengan melukis katil, tingkap dan perabot pada tembok di kawasan mereka tidur.

Artis berpusat di Los Angeles yang menamakan dirinya Skid Robot itu baru-baru ini memuatnaikkan lukisan yang dihasilkannya untuk golongan itu di Skid Row.

Menerusi usahanya itu, dia juga menjalinkan hubungan baik dengan golongan tidak berumah, memberikan wang, membawa bekalan makanan dan berkempen menyedarkan orang ramai mengenai kemiskinan dengan menceritakan mengenai kehidupan gelandangan.

Matlamatnya ialah untuk mengubah tanggapan orang mengenai golongan itu.

Satu daripada subjek Skid Robot ialah JW, bekas artis dari Florida yang dirakam baring di bawah longgokan selimut depan tembok merah.

Tembok itu dicat untuk dilihat seperti dalam bilik tidur dengan katil, dua meja sisi dengan lampu dan tingkap.

Seorang lagi yang dijadikan tajuk dalam siri Skid Robot ialah lelaki bernama Ben. Dalam gambarnya, dia dilihat duduk membongkok di atas kerusi roda. Tembok di belakangnya dicat supaya kerusi itu dilihat seperti takhta di istana.

DIA juga menjalinkan persahabatan dengan golongan itu, membawa makanan untuk mereka serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai orang gelandangan.
"Ben diusir dari hospital tanpa kasut. Dia tidak boleh berjalan akibat ditembak di belakang dan akhirnya diusir dari hospital serta terpaksa hidup bergelandangan.

"Saya menawarkannya makan tetapi dia menolak. Dia sebaliknya meminta kertas, pensil dan pen supaya dia dapat menulis dan melukis.

"Saya memberinya buku lakar yang agak baru, beberapa pen dan marker serta sejumlah wang supaya dia boleh membeli makanan apabila lapar," kata Skid Robot.

Tony, seorang lagi gelandangan yang menjadi tajuk siri Skid Robot memberitahunya, dia dan gelandangan lain di kawasan itu begitu perlukan air dan Skid Robot tidak teragak-agak membelikan mereka 10 gelen air bersih untuk diminum.

Dalam beberapa lukisannya, Skid Robot melukis buih pada tembok tempat gelandangan tidur dengan buih itu menggambarkan makanan atau tanda dolar.

Untuk seorang gelandangan yang tidur dalam khemah, dia melukis pemandangan hutan, menggambarkan seolah-olah lelaki itu berkhemah di hutan.

















Sumber: myMetro