CEO Sanggup Potong Gaji Sendiri, Naikkan Gaji Pekerja 2 Kali Ganda!

SEATTLE – Seorang lelaki berjaya menarik perhatian orang ramai apabila dia menunjukkan sifat bermurah hati sanggup memotong gaji bulanan sendiri, dan sebaliknya memberi kenaikan gaji kepada 120 orang kakitangan syarikatnya.

Lelaki tersebut, Dan Price yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Gravity Payment, telah memotong gajinya sendiri yang berjumlah $1 juta dolar sebulan kepada $70,000 dolar sebulan bagi memastikan stafnya mendapat kenaikan gaji.

Selain kenaikan gaji itu, CEO muda itu juga mengumumkan bahawa sebanyak 80 peratus daripada keuntungan syarikat akan digunakan untuk membayar kenaikan tersebut.

Memetik New York Times, dengan pengumuman yang dibuat oleh Price itu, dianggarkan kira-kira seramai 30 kakitangan syarikat berkenaan akan mendapat kenaikan gaji dua kali ganda!

“Kadar pasaran bagi saya sebagai seorang CEO berbanding dengan orang biasa adalah tidak masuk akal…ia tidak masuk akal,’’ katanya yang dipetik dari media antarabangsa itu.


Difahamkan bahawa Price telah menubuhkan syarikat berkenaan pada 2004 dan pembayaran yang dikendalikan Gravity Payment pada tahun lepas adalah bernilai sekitar RM25 bilion.

Syarikat itu yang menjalankan operasi dan aktiviti pemprosesan kredit kad, ditubuhkan ketika Price masih menuntut di Universiti Pacific, Seattle dengan bantuan adiknya. - Kedahnews.com