Co-Pilot Masukkan Ubat Dalam Kopi Kapten Untuk Paksa Ke Tandas

Nahas Germanwings
MAKLUMAT terbaru yang dikumpulkan oleh pasukan penyiasat nahas pesawat Germanwings mendapati, terdapat kemungkinan besar pembantu juruterbang, Andreas Lubitz telah memasukkan sejenis ubat ke dalam kopi kapten pesawat itu.

Katanya, Lubitz berbuat demikian kepada juruterbang berkenaan, Patrick Sondenheimer, dalam usaha untuk memaksa kapten itu pergi ke tandas.

Hasil siasatan mendapati Lubitz memasukkan ubat jenis diuretik ke dalam cawan kopi kapten pesawat Airbus 320 tersebut sebelum dirinya ditinggalkan berseorangan dalam kokpit untuk menjunamkan penerbangan itu di Pergunungan Alps, Perancis, 24 Mac lalu.

Lubitz disahkan menghidap masalah depresi dan sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan kepada bekas teman wanitanya bahawa namanya akan dikenali di seluruh dunia.

Hasil rakaman suara dari kokpit mendapati Lubitz telah mengunci pintu kokpit sebaik kapten keluar untuk ke bilik air.

Dia kemudiannya telah didapati menggunakan alat kawalan khas untuk menutup kod laluan masuk semula ke kokpit dalam usahanya untuk menghalang Sondenheimer daripada kembali semula ke kokpit.

Kelajuan pesawat ketika ia terhempas ialah 400 km sejam. -Kedahnews.com