Dakwaan Liar, MADA Nafi Lantik Kontraktor Luar

JITRA - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menafikan dakwaan sesetengah pihak mengenai projek penambahbaikan pengairan dan saliran di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikatakan diberi kepada kontraktor luar.

Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  melantik tiga kontraktor tempatan dari negeri ini bagi melaksanakan projek tersebut.

Menurutnya, bagi projek permulaan yang dijangka bermula akhir tahun ini, antara tiga kontraktor tempatan dari negeri ini dilantik iaitu Bina Darul Aman Berhad (BDB) dan Usima Group Sdn Bhd.

“Manakala sebuah lagi syarikat kontraktor terbabit adalah MMC-Gamuda Sdn Bhd yang bekerjasama dengan dua syarikat lain iaitu Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dan Syarikat Perniagaan Peladang (SPP) Sdn Bhd. 

“Tidak timbul isu pemberian tawaran tender kepada syarikat luar daripada negeri ini. Hanya Bernas dan SPP  ‘joint venture’ dengan MMC-Gamuda untuk menggunakan kepakaran yang dimiliki syarikat itu,” katanya pada sidang media ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan SPP ke-35 di sini, kelmarin. 

Othman berkata, pemberian tender kepada syarikat terbabit untuk projek besar itu dibuat oleh kedua-dua kementerian itu dan Mada hanya menguruskan hal berkaitan dengan pengambilan tanah serta memastikan projek tersebut berjalan lancar demi kepentingan petani. 

“Untuk permulaannya, tiga syarikat itu akan memulakan projek penambahbaikan sistem pengairan di 40 blok di kawasan Mada di Kedah dan Perlis dan baki 88 blok lagi akan dilakukan secara berperingkat dalam jangka masa 10 tahun.

“Projek mega yang bernilai RM2.2 bilion ini akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dan dilihat mampu untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi kepada tujuh tan per hektar akan tercapai,” katanya kepada Sinar Harian.   

Terdahulu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah (DPMMK) dalam kenyataan sebelum ini mendakwa syarikat milik anak negeri ini hanya memperoleh kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kontrak projek.

Yang Dipertuanya, Ir Ahmad Fitri Othman mendakwa, pihaknya kecewa apabila kontrak daripada projek terbabit diberikan kepada syarikat luar Kedah.

Menurutnya, ada diantara kontrak bagi kerja pengukuran diberikan kepada syarikat berpangkalan di Sabah, sedangkan banyak syarikat di negeri ini mempunyai keupayaan dan kepakaran yang sama.

Sumber: Sinar Harian