Demi Rakyat, Guan Eng Umum Kenaikan Tarif Air 16.7% Di Pulau Pinang

Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini telah menguatkuasakan kenaikan tarif air sebanyak 16.7%, sekaligus mengabaikan manifesto yang mereka telah janjikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Dengan kenaikan itu, pengguna air di negeri itu terpaksa membayar tarif air lebih tinggi berbanding negeri lain dan ini akan menambahkan lagi kos sara hidup di Pulau Pinang.

DAP mengambil kesempatan ini dengan menaikkan tarif air bersama dengan tarikh pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi mengaburi mata rakyat di negeri itu bahawa kenaikan tarif air itu berpunca dari pelaksanaan GST.

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa berkata, kenaikan tarif itu bertujuan mendidik pengguna di negeri itu supaya berjimat dalam penggunaan air seharian memandangkan orang ramai menggunakan air secara berlebihan.

"Oleh kerana bekalan air domestik disubsidi di negeri ini dan perkhidmatan bekalan air adalah baik, orang ramai terus menggunakan air secara berlebihan, bagaimanapun Pulau Pinang sebuah negeri yang kekurangan air dan kita perlu fikirkan masa hadapan," kata Jaseni.

Jaseni dalam nada tegas berkata, jika seorang pengguna itu menggunakan air yang banyak, pengguna tersebut haruslah bersedia untuk membayar lebih.

"Mesejnya mudah, guna sedikit air dan bayar kurang. Jika berterusan guna banyak air, bersedialah untuk bayar lebih," katanya.

Rakyat dapat menilai sendiri apabila kerajaan negeri cuba menyembunyikan tangannya apabila melakukan kesalahan dan cuba menyalahkan pihak lain atas tindakan sendiri seperti kenaikan air ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang (PBA) telah menipu rakyat dengan mengenakan caj upahan tersembunyi bayaran Pos Malaysia didalam bil air tersebut yang sepatutnya ditanggung oleh PBA sendiri. -Utaranews.com