Barisan Adun Pembangkang Perak yang disifatkan sebagai biadap terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dengan memakai pakaian hitam tanda protes. |
IPOH – Dewan Negara Perak menyuarakan teguran keras terhadap cara
berpakaian yang tidak menghormati etika berpakaian penuh istiadat oleh
sebahagian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa perasmian
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13
pada 31 Mac lepas.
Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim berkata teguran itu
merupakan satu daripada tiga ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat
dewan ke-163 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah
semalam.
“Ahli-Ahli Dewan Negara mengingatkan bahawa di negeri Perak, Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan telah berkenan setiap tahun
menetapkan dua acara yang dikategorikan istimewa dan dimuliakan sebagai
hari penuh istiadat yang dirujuk sebagai ‘Hari Kalung’.
“Pertama, istiadat sambutan ulang tahun keputeraan Raja Pemerintah
yang istiadatnya dilangsungkan dalam Balairung Seri Istana Iskandariah
dan kedua, istiadat perasmian persidangan DUN yang dilangsungkan dalam
ruang Dewan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata perkenan itu membuktikan bahawa Sultan Perak
mengiktiraf, sekali gus menganugerahkan darjah kemuliaan kepada
institusi rakyat yang dilambangkan oleh DUN.
Ayop berkata Dewan Negara Perak menegaskan perbuatan sebahagian ADUN
itu bukan sahaja bersifat melanggar adat malah mencerminkan sikap tidak
beradab mereka terhadap dewan, sekali gus terhadap Ketua Negeri iaitu
Raja Pemerintah yang berangkat mencemar duli untuk memberikan kemuliaan
dan pengiktirafan kepada dewan berkenaan.
“Ahli-Ahli Dewan Negara menetapkan pendirian dan menyembahkan
cadangan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan agar di masa
hadapan supaya bersifat tegas terhadap pihak-pihak yang memilih tidak
mematuhi adab dan tidak menghormati adat di dalam sesuatu majlis.
“Ketetapan Dewan Negara ini akan disampaikan secara rasmi kepada pihak berkuasa pentadbiran negeri,” katanya.
Ayop berkata pada persidangan itu, Dewan Negara juga menyembahkan
ucapan tahniah kepada Sultan Nazrin atas jemputan Setiausaha Agung
Pertubuhan Bangsa Bersatu Ban Ki-Moon yang memohon perkenan baginda
untuk mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Tertinggi
Kewangan Kemanusiaan menerusi surat bertarikh 30 Mac lepas.
Kesemua ahli Dewan Negara menyifatkan jemputan tersebut bukan sekadar
pengiktirafan tertinggi kepada Sultan Nazrin tetapi juga penghormatan
kepada rakyat dan negeri Perak dan kepada negara secara keseluruhannya,
katanya.
Beliau berkata selain itu, Dewan Perak mengambil maklum titah
perkenan Sultan Nazrin melantik bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri
Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sebagai ahli bukan rasmi dewan berkenaan,
yang berkuat kuasa 17 April ini. – BERNAMA