KETIKA masyarakat kecoh susulan pelaksanaan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Rabu sehingga menjadi bualan
popular jenaka April Fool kali ini, tidak ramai sedar Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia ke arah penyiaran digital.
Secara kebetulan, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-69 stesen rasmi negara kita pada hari ini yang bertema ‘RTM Di Mana Jua Anda Berada’, isu transformasi pendigitalan siaran TV di Malaysia mula kembali diperkatakan banyak pihak.
Program bual bicara secara langsung, Selamat Pagi Malaysia di TV1
pada 1 April turut mengupas isu itu selama setengah jam dengan
menjemput eksklusif Ketua Pegawai Komersial MYTV Broadcasting Sdn. Bhd.,
Haniza Ros Nasaruddin.
Syarikat berteknologi tinggi di bawah firma
telekomunikasi Kumpulan Altel Holdings itu bertanggungjawab dalam
penyediaan kandungan siaran dan naik taraf prasarana sistem pemancar
penyiaran teresterial digital bersama-sama dengan RTM.
Turut menjadi tetamu dalam program itu ialah
Pengarah Jabatan Peralihan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM), Azlina Mohd. Yusof yang menceritakan senario
perubahan mega era penyiaran tempatan.
Isi perbualan amat padat sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini yang menceritakan secara terperinci peralihan fasa
dunia penyiaran tanah air susulan banyak rungutan pelanggan terhadap
sebuah stesen berbayar terkemuka.
Turut disentuh ialah gambaran bayangan apakah
saluran bakal termasuk dalam senarai 80 saluran baharu televisyen
digital yang akan dipancarkan secara percuma kepada rakyat Malaysia
bermula dengan liputan wilayah Pantai Timur pada Jun depan.
Sebenarnya isu ini telah hangat dibincangkan pengguna media sosial, malah laman Wikipedia sebelum ini telah menyiarkan nama-nama saluran RTM itu yang banyak berdasarkan format stesen tertua di dunia, Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Ini bermakna saluran TV1 dan TV2
sedia ada besar kemungkinan bakal dipecahkan mengikut tema atau genre
antaranya berita, drama, sukan, parlimen, kartun, agama, komedi, filem,
dokumentari, hiburan, masakan, remaja, bisnes dan sebagainya.
Apa yang pasti, rakyat Malaysia yang masih belum
melanggan mana-mana stesen berbayar turut dapat menikmati kecanggihan
sistem penyiaran negara kita tanpa dibebani apa-apa yuran langganan
bulanan sejajar dengan tema RTM Di Mana Jua Anda Berada.
Sumber: Mynewshub.cc