Didik Mengikut Aturan Islam

PERDEBATAN dalam isu rotan yang wujud sejak berpuluh tahun lalu, hanya menjurus kepada penyelesaian sehala.

Tidak kira sama ada perbincangan isu dibuat di peringkat kerajaan, mahkamah, sekolah, universiti atau kedai kopi. Penyelesaiannya tetap sama.

Sama ada kita sedar atau tidak, penyelesaiannya menjurus kepada sejauh manakah seseorang yang memegang rotan itu mampu mengawal rasa marah atau tidak puas hati kepada individu yang mahu dirotannya.

Sudah pasti, ramai beranggapan ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Apatah lagi, hakikat ciptaan manusia sejak azali lagi penuh dengan kekurangan atau kelemahan, malah ia amat ketara.

Terbukti, apabila banyak kes rotan timbul disebabkan gagal mengawal rasa marah. Mangsanya mengalami kesan psikologi yang mendalam.

Pendakwah bebas tanah air, Ahmad Dasuki Abdul Rani percaya bahawa kegagalan itu kerana wujudnya sikap manusia yang lebih mementingkan kehendak manusia berbanding apa yang digariskan oleh syariat Islam.

Apa yang berlaku dalam isu rotan itu seolah-olah menggambarkan bahawa kita selaku penganut agama Islam ingin melawan perintah Pencipta kita sendiri.

“Dalam kita mendidik, kita mendidik bukan berdasarkan aturan agama tetapi kerana kehendak dan pandangan manusia lain. Sehinggakan Islam dilihat tidak ada kekuatan ilmu dalam membina keluarga dan masyarakat.

“Dalam sebuah syair Arab yang bermaksud: Orang yang tiada apa-apa, bagaimana dia hendak bagi (sumbang),” katanya.

Malahan, ia juga turut menggambarkan bahawa kita lupa hakikat siapa diri kita di sisi Allah SWT.

“Kita harus ingat Allah SWT yang mencipta kita dan sudah pasti Dia lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat.

“Oleh itu, tidak ada manusia yang boleh memperbetulkan kehidupan ini kecuali apa-apa perintah yang datang daripada Allah SWT,” katanya ketika menjadi panel Bicara Persada - Rotan: Mendidik atau Mengajar di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Forum itu adalah anjuran Fakulti Pendidikan Dan Jabatan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut menjadi panel jemputan ialah Presiden Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pakar psikologi UKM, Prof. Dr. Zuria Mahmud.


Selain itu, Ahmad Dasuki menjelaskan ada ketika kita lupa bahawa Allah SWT menciptakan manusia dalam keadaan berbeza antara satu sama lain.

Ini jelas apabila kita melihat penurunan perintah Allah SWT (melalui Rasulullah SAW) untuk manusia dibuat dalam keadaan berbeza-beza mengikut setiap individu.

“Dalam tafsiran alim ulama bahawa ada sekelompok manusia yang apabila menerima perintah Allah SWT, dia akan terus melaksanakannya tetapi ada juga kumpulan manusia yang selagi tidak dirotan, maka dia tidak akan dengar,” katanya.

Garis panduan ketat

Begitu pun, Ahmad Dasuki percaya penyelesaian tersebut boleh dicapai jika ajaran dan prinsip Islam menjadi pegangan yang kukuh dalam diri seseorang.


Hanya hati yang terpaut kukuh kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW akan menjauhkan diri kita kepada perangi amarah apabila berdepan dengan sesuatu permasalahan hidup.

“Kita kena faham bahawa Islam merupakan satu agama dakwah yang menyeru manusia kepada kebaikan dan bukannya untuk menjadikan hidup manusia semakin sukar atau tertekan.

“Bahkan Islam mengajar supaya kita selamat bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya.

Sejajar itu, Ahmad Dasuki berkata, walaupun hukuman rotan ada termaktub dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran Islam tetapi ia bukan boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Beliau menegaskan, Islam menetapkan garis panduan yang ketat sebelum hukuman rotan tersebut dilaksanakan sama ada ke atas anak, isteri atau individu Islam yang melakukan kesalahan.

“Sebenarnya rotan itu telah dibincangkan secara panjang lebar oleh alim ulama dan hasilnya, mereka sepakat mengadakan beberapa syarat sebelum hukuman rotan dilaksanakan.

“Antara buku yang boleh dijadikan rujukan ialah Pendidikan Anak-anak Dalam Islam yang menggariskan lebih 10 syarat yang perlu dipenuhi sebelum merotan anak,” katanya.

Sekiranya mahu dilaksanakan juga hukuman rotan, terdapat garis panduan yang perlu dipenuhi terlebih dahulu kerana Islam menegaskan bahawa hukuman itu dilaksanakan bukan sebab nafsu amarah tetapi sebagai peringatan untuk mendidik dan mengasuh.

“Perkara itu dipentingkan kerana Islam mahu hukuman itu sampai pada jiwa atau perasaan sehingga menimbulkan rasa insaf tetapi bukan kepada jasadnya,” katanya.

Apa kata mereka

“ISU rotan ia menggamit lebih perhatian orang Melayu yang cukup sinonim dengan Islam. Wajarkah kita kalah kepada desakan hak asasi yang diwujudkan oleh golongan Barat.”
SAYED MUNAWAR SAYED MOHD. MUSTAR
Pengacara TV

“ROTAN bukan budaya orang Malaysia atau Melayu tetapi adalah sebahagian atau ciri untuk mengasuh anak-anak.”
DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT
Presiden Sukaguam

“MEROTAN hanya satu alat yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan atau keburukan. Ia menjadi isu apabila ia disalahgunakan oleh orang ramai sama ada guru atau ibu bapa.”
PROF DR. ZURIA MAHMUD

Sumber: Utusan