KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara dua minggu oleh
Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku mencuri 47 keping coklat di
sebuah pasar raya.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Lim Kok Beng @
Sudirman Lim Abdullah, 53, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia
ditangkap, 10 April lepas.
Lim didakwa mencuri 47 keping coklat Kit Kat bernilai RM149.46 di
Pasaraya KK Supermart & Superstore, Jalan Sultan, Dang Wangi, di
sini pada pukul 10.10 malam, 10 April lepas mengikut Seksyen 380 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Ketika rayuan, Lim yang tidak diwakili peguam berkata dia telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah
mengenakan hukuman berbentuk pencegahan kerana tertuduh memiliki lapan
rekod kesalahan lampau termasuk tiga kesalahan mencuri. – BERNAMA