PERMATANG PAUH - Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang diperlekeh PKR di saat Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh hangat berlangsung menarik simpati dari dari Pergerakan Pemuda UMNO di Pulau Pinang.
Lebih teruk lagi, suara sayap penting PAS dan akar umbi parti itu turut tidak dihiraukan oleh beberapa pemimpin PAS yang dilihat lebih mementingkan rakan sekutu parti berkenaan yang menolak usaha perlaksanaan hudud.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung, Datuk Jeffri Salim meluahkan rasa simpatinya terhadap Pemuda PAS di pulau mutiara itu berhubung hinaan PKR menerusi Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
"Hakikatnya suara anak muda PAS ini langsung tidak berharga malah tidak punya nilai bagi PKR walaupun selama ini PAS lah yang banyak membantu PKR dan Pakatan Rakyat.
"Rasionalnya mereka lebih menumpukan kepada peringkat tertinggi sedangkan anak-anak muda PAS Pulau Pinang khususnya di Permatang Pauh lah yang banyak melakukan kerja-kerja parti di peringkat akar umbi selama ini," tegasnya.
Katanya, kepimpinan ulama PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan majoriti akar umbi PAS menyokong penuh perlaksanaan hudud di Kelantan, namun enggan dihormati DAP dan PKR.
Malah beberapa pemimpin PAS yang melibatkan diri dalam PRK di Permatang Pauh dilihat seolah cuba memaksa jentera dan akar umbi PAS untuk menyokong calon PKR, menafikan suara mereka yang cuba "mengajar" dua parti Pakatan Rakyat itu untuk menghormati maruah PAS.
"Antara yang paling lantang menentang hasrat PAS itu adalah rakan sekutunya sendiri DAP dan turut mendapat sokongan PKR.
"Akibat daripada perbezaan pendapat dan ideologi politik dalam Pakatan Rakyat akhirnya suara anak muda PAS langsung tidak dipedulikan," kata Jeffri simpati pada Pemuda PAS Pulau Pinang.
Malah beliau turut hairan dengan pendirian pemimpin PAS Pusat di Permatang Pauh yang seakan "menggadai" perjuangan melaksanakan hudud hanya disebabkan kerusi parlimen dan kepentingan pendirian PKR serta DAP yang menolak hukum Allah itu.
"Agak menghairankan dalam situasi sepenting ini , PAS lebih memilih untuk bersahabat dengan PKR yang secara jelas menolak hasrat parti itu untuk melaksanakan undang-undang hudud malah bertindak lebih jauh dari itu dengan menghina dan memfitnah Tuan Guru Haji Hadi Awang," katanya lagi. -Kedahnews.com