SERDANG – Polis menahan 95 rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi
pengganas dan terlibat dalam kumpulan militan IS setakat ini, kata
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata bilangan itu bertambah daripada 93 orang pada 6 April
ketika pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015
kepada 95 orang.
Beliau berkata pihak polis sedang melakukan pemantauan terhadap
individu dan kumpulan yang disyaki terlibat dalam IS melalui sosial
media dan alam maya yang menjadi saluran komunikasi antara ahli-ahli
kumpulan militan.
“Kita menghantar pasukan risikan untuk memantau kegiatan mereka..kita
tidak boleh tangkap mereka begitu sahaja tanpa menyiasat mereka,”
katanya kepada pemberita selepas mengahdiri Majlis Penyampaian Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri 2014 hari ini.
Seramai 395 warga KDN dan agensi di bawahnya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Alwi Ibrahim.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Interpol Global Complex for
Inovation Inauguration yang berpusat di Singapura akan meningkatkan
kerjasama antara Asia dan membantu Aseanapol dalam memerangi jenayah
siber di rantau ini.
Beliau yang mengunjungi pusat itu yang baru dilancarkan itu dua hari
lepas berkata jenayah siber menjadi cabaran baharu kepada polis dan
badan penguat kuasa lain di rantau ini dan kewujudan Interpol boleh
membantu Aseanapol.
“Masih ada negara-negara yang berfikiran analog tetapi penjenayah
menggunakan cara-cara digital. Oleh itu, pemikiran dan pengguna analog
kena tukar kepada digital kerana kita perlu mengakali mereka.
“Komitmen negara Asean dan Asia harus diterjemahkan bukan sekadar
peralatan tetapi juga memberikan latihan kepada pegawai dan anggota
polis di negara di rantau ini.
“Kita juga boleh berkongsi maklumat dan laporan siasatan kerana
penjenayah mempunyai rangkaian antarabangsa dan ini perlu ditangani
secara silo *bukan sahaja) dalam negara tetapi rantau,” katanya. –
BERNAMA