Dua Beradik Dari Kodiang Ditahan Kerana Dadah


JITRA - Dua beradik ditahan kerana disyaki memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Perumahan Keda Pochan, Kodiang, di sini, semalam.

Difahamkan, salah seorang daripada suspek disyaki pengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Kodiang, manakala abangnya pula seorang penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, serbuan dilakukan ke atas rumah terbabit diketuai Pegawai Inspektor Buddy Arman Koeasmojo Aman bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kubang pasu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi rumah tersebut kira-kira jam 9.30 pagi, polis mendapati pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka.

“Kita terus menyerbu masuk dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada salah seorang suspek yang berada dalam sebuah bilik pertama.

“Pemeriksaan fizikal dibuat ke atas suspek menemui dua paket plastik lut sinar dan dua keratan penyedut minuman berisi bahan disyaki dadah yang disimpan di dalam poket seluar jeans yang dipakai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Abd Rahim berkata, pihaknya menyerbu masuk ke dalam sebuah bilik ketiga rumah tersebut dan menahan seorang lagi suspek iaitu abang suspek pertama kerana disyaki penagih dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dadah tersebut adalah jenis heroin seberat 11.65 gram, manakala hasil ujian air kencing kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis morfin.

“Kedua-dua suspek berusia 29 dan 36 tahun, manakala si abang iaitu berstatus duda mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya dan adiknya tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah yang ditemui daripada suspek pertama adalah untuk dijual dan kegunaan sendiri.

"Manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1988," katanya. -Sinar Harian