Gambar Hiasan |
Konflik tercetus apabila dua beranak yang masing-masing berusia 31 tahun dan 67 tahun tidak dapat menahan marah apabila rayuan mereka tidak dilayan.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid, dua beranak itu ditahan anggota trafik pada pukul 9.50 malam kerana didapati tidak memakai tali pinggang keledar.
“Anggota polis terbabit meminta kad pengenalan dan lesen memandu ahli perniagaan berusia 31 tahun itu dan mendapati ia telah tamat tempoh sejak tahun lepas.
“Semasa menulis saman, lelaki yang duduk di tempat penumpang keluar dan merayu agar polis tidak menyaman anaknya tetapi anggota polis itu tidak menghiraukannya,” katanya.
Hal itu mengakibatkan bapa berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum meludah ke arah muka anggota trafik itu.
Anggota polis bertindak menahan bapanya itu menyebabkan anaknya keluar lalu menampar muka anggota trafik berkenaan.
Susulan itu, kedua-dua beranak ditahan oleh dua polis yang berada di tempat kejadian dan kini direman tiga hari untuk membantu siasatan.