KUALA LUMPUR – “Macam mana nak berhubung dengan dunia luar. Media
digital amat perlu untuk semua dalam abad ini. Jika tiada media digital
kehidupan bagaikan di Zaman Batu”.
Ini antara luahan hati Nur Farah Hanani Norzaman, 15, pelajar SMK
Agama Kuala Lumpur, apabila diminta membayangkan dunia tanpa media
digital.
Amat sukar untuk anak-anak abad ke-21 membayangkan bahawa hanya
sekitar 20 tahun lalu, ibu bapa mereka berjaya melalui era yang mereka
sifatkan sebagai Zaman Batu itu.
Ketika itu, ibu bapa mereka menggunakan telefon awam untuk menelefon kawan mereka serta keluarga apabila berada di luar.
Mereka juga akan mengutus surat kepada kenalan di negara lain.
Sekiranya mereka sukakan sesuatu, mereka akan bersuara untuk menzahirkan
rasa suka mereka dan bukan dengan hanya menekan tanda ‘angkat ibu jari’
(thumbs up) di skrin.
Apa yang berlaku sekarang, anak-anak melihat penggunaan peralatan
digital dan teknologi mudah alih sebagai sebahagian daripada budaya
hidup.
Dunia adalah pentas sosial tanpa sempadan untuk mereka, dipenuhi
hiburan, maklumat serta peluang dengan hanya satu klik atau tekan.
YANG TAK ELOKNYA TENTANG DUNIA SIBER
Bagaimanapun, di sebalik faedah yang banyak, Internet juga membuka laluan kepada perkara yang negatif.
Ini termasuk membuli dalam talian, kata-kata benci, gangguan, judi
dalam talian dan mudah mengakses bahan lucah serta bahan lain yang
membahayakan.
Menurut Phenny Kakama, Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, dunia digital kini seakan sama dengan dunia yang sebenar.
“Memandangkan semakin sukar untuk membedakan alam luar talian dan
dalam talian, adalah penting untuk kita mengkaji bagaimana keadaan yang
berubah ini memberi kesan kepada kesejahteraan dan pembangunan
kanak-kanak serta hak mereka, ” katanya.
Phenny membahagikan risiko dalam talian yang dihadapi kanak-kanak
kepada tiga kategori iaitu bahaya daripada isi kandungan, orang yang
dihubungi dan tingkah laku.
Bahaya daripada segi isi kandungan berlaku apabila kanak-kanak adalah
penerima pasif bahan lucah atau isi kandungan berbentuk seksual.
Bahaya daripada orang yang dihubungi ialah apabila kanak-kanak
disasarkan sebagai peserta oleh orang dewasa atau kanak-kanak lain dalam
kegiatan seperti penderaan seksual dan membuli.
Sementara bahaya daripada tingkah laku pula adalah apabila kanak-kanak bertindak dalam cara yang boleh membahayakan dirinya.
Antaranya membuat atau memuat turun bahan lucah, berjumpa sendiri
orang dewasa yang dikenali dalam talian, meletakkan gambar sendiri atau
anak muda lain dalam talian atau memuat turun gambar kanak-kanak didera
atau dibuli.
“Sementara apa yang saya sebut tadi adalah bentuk penderaan dan
eksploitasi dalam talian yang semakin merebak, anak muda juga berdepan
dengan risiko apabila mereka berkongsi maklumat peribadi, memuat turun
bahan yang dilarang serta membuat pembelian kurang bijak dalam talian,”
tambahnya.
PERATURAN TANPA PENAPISAN
Usaha bersepadu ibu bapa dan anak-anak mereka, pembuat dasar, agensi
penguatkuasaan undang-undang, pekerja sosial, guru serta sektor swasta
perlu untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat.
“Sektor swasta terutamanya mempunyai tanggungjawab utama berhubung perlindungan kanak-kanak dalam talian.
“Syarikat perlu proaktif dengan mengambil serius risiko dalam talian dan bertindak sewajarnya.
“Jika tidak, ada kemungkinan kerajaan akan bertindak mengenakan
peraturan dan undang-undang dalam cara yang boleh memberi kesan kepada
kebebasan maklumat.
Peraturan yang seimbang tanpa penapisan perlu dikekalkan pada setiap masa,” kata Phenny.
APA KATA GOLONGAN REMAJA
Sewaktu Persidangan Serantau Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian
2015 yang diadakan baru-baru ini, 19 orang kanak-kanak turut serta
sebagai Perwakilan Kanak-Kanak di bawah usia 18 tahun.
Mereka mewakili Childline Malaysia, Majlis Kanak-Kanak, Duta DiGi
Cybersafe, Liga Remaja Kreatif di bawah program Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Yayasan Pusat Pembelajaran Alternatif
Chow Kit.
Peserta persidangan secara umumnya menyokong pelaksanaan peraturan sendiri dalam mengawal ancaman siber.
Bagaimanapun, mereka mengakui masih memerlukan bimbingan daripada orang dewasa terutamanya ibu bapa dan pihak sekolah.
“Ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak mereka akan apa yang
boleh dan tak boleh apabila melayari Internet,” kata Muhamad Azim Fadzil
Abdul Manan, 16.
Pelajar SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu berkata
pengguna (kanak-kanak) perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebaik
sahaja mereka sedar mereka menjadi mangsa buli dalam talian.
Nursharlene Azahar, 15, berpendapat sekolah bertanggungjawab mendidik kanak-kanak tentang Internet.
“Sekolah perlu mendidik kanak-kanak tentang faedah dan bahaya
Internet dan membantu agar kanak-kanak dapat melayari Internet dengan
selamat,” katanya.
Cathryn Anila dari SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang, percaya
kanak-kanak perlu bertindak secara bertanggungjawab dan wajar apabila
melayari Internet.
“Bagaimanapun, orang dewasa memainkan peranan penting dalam
membimbing kanak-kanak supaya mereka tidak menyalahgunakan kebebasan
mengakses isi kandungan Internet,” kata pelajar berusia 15 tahun itu.
PELAN BERTINDAK PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN (PTCOP)
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat telah membangunkan Pelan Bertindak Perlindungan Kanak-Kanak
Dalam Talian (PTCOP) untuk menangani isu abncaman siber.
Antara kementerian serta agensi yang terlibat dalam perlaksanaan
pelan ini ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian
Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, SKMM dan Polis Diraja Malaysia.
“Diharapkan PTOP dengan empat aspek utama iaitu sokongan, pencegahan,
campurtangan dan khidmat sokongan akan menjadi pemangkin dalam
meningkatkan kesedaran serta komitmen ibu bapa, guru, anggota masyarakat
dan pertubuhan bukan kerajaaan,” kata menterinya, Datuk Seri Rohani
Abdul Karim. – BERNAMA