EKSKLUSIF: Ahli Parlimen PKR Tabur Fitnah Bunga Terhadap Najib


PERMATANG PAUH - Ahli Parlimen PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu ceramah kempen semalam mendakwa semua bunga yang digunakan di majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah merupakan duit rakyat.

Kata Abdullah Sani, belasan juta bunga telah digunakan di majlis perkahwinan Nooryana Najwa dengan pasangannya, Daniyar Kessikbayev, dan segala kos berkenaan bunga itu dibayar menggunakan wang milik orang ramai.

"Anak dia (Najib) kahwin, bunga saja belasan juta..ooo dahsyat!

"Order direct dari Holland.. mak oiii dari Holland.. fresh flower.. bunga segar.. bunga segar ni mahal.

"Duit siapa tu saudara? Duit kita..duit kita digunakan!," katanya di depan hampir 500 orang yang hadir di majlis ceramah di Tapak Expo Seberang Jaya, di sini sebentar tadi.

Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev diijabkabulkan pada 19 Mac lalu dan mengadakan majlis persandingan mereka di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dengan dihadiri tetamu-tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara.

Namun Kedahnews.com difahamkan dari sumber yang menjelaskan bahawa segala perbelanjaan dan kos majlis perkahwinan anak Perdana Menteri itu, termasuk bunga-bunga tersebut dibiaya sepenuhnya oleh pihak menantunya, Daniyar.

Sekiranya sumber kami benar, maka jelaslah dakwaan yang dihamburkan Abdullah Sani itu merupakan satu fitnah yang akan memburuk-burukkan imej Perdana Menteri di depan rakyat, sekaligus menjejaskan tanggapan seluruh rakyat terhadap beliau.

Justeru itu, kami menyarankan agar tindakan sewajarnya diambil terhadap dakwaan Abdullah Sani itu sebagai langkah mencegah budaya fitnah yang semakin berleluasa di dalam kempen-kempen politik di Permatang Pauh sejak 25 April lalu.

Lagipun, Islam dengan jelas menegaskan tentang dosa fitnah yang dikategorikan sebagai salah satu dosa besar dan dianggap lebih merbahaya berbanding kesalahan membunuh. -Kedahnews.com