Era Pengetua, Guru Garang Sudah Berakhir?

KANGAR — Era guru besar atau guru ‘garang’ sudah berakhir dan tidak sesuai lagi diamalkan di sekolah sama ada menengah atau rendah, kata Exco Kerajaan Perlis Ahmad Bakri Datuk Ali.

Beliau berkata kaedah serta pendekatan yang lebih mesra dengan pelajar perlu diterapkan oleh setiap tenaga pengajar.

“Zaman saya bersekolah dahulu, sekolah menengah atau rendah, guru besar orang paling ditakuti murid kerana sebarang tindakan mereka direstui ibu bapa murid,” katanya sempena majlis perasmian penutup Pertandingan Rukun Negara Kelab 1Malaysia peringkat Perlis di sini, hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis itu turut menampilkan pertandingan drama bertemakan ‘Penghayatan Rukun Negara Teras Penerapan Nilai Murni’.

Beliau berkata berbeza dengan keadaan sekarang, zaman dahulu tidak terdapat sebarang tindakan melulu daripada ibu bapa yang mempertikaikan tindakan guru besar atau guru sekiranya pihak sekolah menghukum pelajar.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man pada majlis itu, berkata program seumpama itu memberi manfaat kepada generasi muda khususnya golongan pelajar melalui proses pembinaan bangsa.

Ahmad Bakri berkata sifat individu yang bersopan santun dan bersusila amat bermakna dan sangat penting dalam konteks perhubungan antara satu dengan lain dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Kata beliau sikap bersopan dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk masyarakat berdisiplin serta bermoral tinggi dalam usaha memupuk masyarakat harmoni.

“Kita harus mempertahankan hubungan harmoni antara kaum di negara ini dan terus istiqamah dalam mewujudkan kesamaan identiti yang kukuh,” kata Ahmad Bakri.

Beliau berkata pada hari ini, banyak negara di dunia mengagumi Malaysia yang diperakui berjaya membawa perpaduan kaum dalam sebuah negara yang didiami pelbagai etnik.

Beliau berkata ibu bapa pada masa dahulu memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada guru besar atau guru supaya mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Ahmad Bakri turut menyampaikan hadiah kepada sekolah menengah yang berjaya dalam pertandingan drama tersebut yang berlangsung sejak semalam.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Kangar muncul johan dan menerima hadiah wang tunai RM1,500 menerusi drama berjudul ‘Kasut Kelopak Kasih’ arahan Azizah Ab Aziz; naib johan disandang SM Agama Al Islahiah, Behor Mali, Simpang Empat menerusi sketsa bertajuk ‘Kita Bongkar’ dan menerima hadiah RM1,000; manakala di tempat ketiga ialah SMK Mata Ayer yang mempersembahkan dramabertajuk ‘Terjebak’ dan memenangi hadiah RM500.– BERNAMA