ETS: Cuma 4 Jam Dari Padang Besar Ke Kuala Lumpur!


ALOR SETAR – Sukar dibayangkan apabila perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dari Padang Besar, Perlis ke Kuala Lumpur bakal memakan masa hanya empat jam 15 minit berbanding kira-kira 12 jam menerusi perkhidmatan lokomotif diesel.

Perkara ini dinyatakan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad kepada Bernama yang turut memberitahu perkhidmatan ETS bakal bermula September ini menggunakan landasan berkembar selaju 160 kilometer sejam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata secara rasmi ETS akan bermula September ini, namun diharap ia dapat beroperasi sebulan lebih awal iaitu pada Ogos.

“Sah ia akan bermula secara rasmi September ini. Kami kini sedang melakukan pelbagai ujian,” katanya.

Nawawi menjelaskan bagi laluan Padang Besar-Kuala Lumpur, ETS akan berhenti di lima buah stesen utama.

Difahamkan stesen berkenaan ialah Arau, Alor Setar, Bukit Mertajam, Ipoh sehingga berakhir di KL Sentral.

Beliau berkata KTMB akan menjalankan ujian laluan selama sebulan Jun ini.

Perkhidmatan Padang Besar-Kuala Lumpur pada mulanya akan menggunakan empat set tren daripada 10 set yang dibeli daripada sebuah syarikat China, CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co, katanya.

KTMB dijangka menerima lima set tahun ini manakala selebihnya tahun depan, tambahnya.

“Dengan empat set itu, kita berkemungkinan akan mengadakan perkhidmatan sebanyak empat kali sehari iaitu pada sebelah pagi, tengah hari, petang dan malam,” jelasnya.

Nawawi berkata KTMB masih menjalankan kajian mengenai jadual perkhidmatan ETS selain turut mengambil kira faktor penawaran dan permintaan daripada pengguna.

“Jadual perkhidmatan ETS Padang Besar-Kuala Lumpur serta harga tiket akan ditentukan kemudian,” katanya.

Projek landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar bermula pada 2008 dan bernilai kira-kira RM13 bilion. Ia juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo.

Laluannya bakal dipanjangkan sehingga Johor Baharu. – BERNAMA