WASHINGTON – Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI)
mengesahkan hari ini bahawa Zulkifli Hir, salah seorang daripada
pengganas paling dikehendaki terbunuh dalam satu operasi serbuan di
Filipina, Januari lalu.
Jabatan Negara AS sebelum ini menawarkan AS$5 juta bagi memberkas
Zulkifli, seorang rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan militan
Jemaah Islamiah di bawah rangkaian al-Qaeda yang menjadi dalang dalam
beberapa serangan bom di Filipina.
Penyiasat berkata, mereka berdepan dengan beberapa kesulitan dalam
mengesahkan kematian Zulkifli disebabkan suspek terbunuh dalam serangan
berdarah mengerikan yang menyaksikan 44 komando pilis turut terbunuh.
Sebelum ini, FBI melaporkan pihaknya sudah mengenal pasti cebisan
mayat di lokasi serangan yang dipercayai adalah Zulkifli kerana DNA
mempunyai kaitan dengan suspek dan ahli keluarganya.
Tiga tahun lalu, tentera Filipina melaporkan Zulkifli terbunuh dalam
serangan udara, namun dia muncul semula tahun lalu di Mindanao di bawah
perlindungan Pergerakan Liberal Islam Moro.
Dalam satu kenyataan, penolong pengarah di pejabat FBI Los Angeles,
David Bowdich, berkata agensi itu sudahpun mengeluarkan nama Zulkifli
daripada senarai pengganas yang paling dikehendaki dan berterima kasih
kepada polis Filipina. – AFP