ROMPIN – Felda, dalam usaha memastikan generasi keduanya mampu
memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda, akan
memperkenalkan kaedah sewa beli bagi mereka yang bekerja sendiri tanpa
mempunyai penyata gaji.
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata langkah itu
diambil bagi membantu golongan belia yang menjalankan perniagaan sendiri
dan tiada penyata gaji untuk memiliki kediaman.
“Mereka boleh sewa dahulu sehingga lima tahun dan jika mereka
mempunyai duit yang cukup dalam tempoh masa lima tahun atau selepas
tempoh itu, mereka boleh beli rumah itu.
“Felda juga mungkin akan memberi diskaun kepada pembeli dengan
mengambil kira beberapa faktor seperti membuat bayaran sewa yang
efisien, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Semai Bakti
Felda Keratong Satu, kira-kira 80km dari sini, Selasa.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.
Mohd Isa berkata Felda kini dalam proses membuat pinjaman bank bagi
membina 20,000 unit rumah dan akan memulakan kerja pembinaan setelah
pinjaman diluluskan.
Katanya 20,000 unit rumah itu dijangka siap menjelang tahun 2017 atau
awal 2018, manakala 9,000 lot rumah telah pun diluluskan sehingga kini.
Selain itu, Felda akan turut mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi
menyelia dan menapis pemohon yang layak memiliki rumah tersebut,
katanya.
Pada tahun 2013, Felda memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi
membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh
lima tahun bagi memberi peluang kepada generasi keduanya memiliki rumah.
Mengenai pemberian subsidi daripada kerajaan bagi membolehkan
generasi baharu Felda memiliki kediaman, Mohd Isa berkata ia bergantung
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perlu mengambil
kira keadaan ekonomi semasa negara. – BERNAMA