Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar |
PUTRAJAYA – Festival Belia Putrajaya 2015 yang akan diadakan pada
22-24 Mei ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Rakan Muda, kata Menteri
Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata sebagai ‘pemilik’ kepada festival dan selaras
penjenamaan semula Rakan Muda, acara bertemakan Bakat atau “Showcase of
Talent” itu memberikan peluang sepenuhnya kepada belia untuk menggerak
dan mewarnai program berkenaan berdasarkan aspirasi golongan tersebut.
Lokasi festival tahunan itu juga turut berganjak ke Presint 4
merangkumi Dataran Gemilang sehingga ke Galeria Putrajaya Holdings
berbanding tertumpu di sekitar Presint 2 dan 3 sahaja sebelum ini,
katanya.
“Di sebalik segala perubahan dan kelainan fizikal yang dilaksana bagi
memberi pengalaman yang lebih menarik kepada belia, penambahbaikan
paling utama festival tahun ini adalah intipatinya, iaitu betul-betul
digerakkan dan dipersembahkan oleh anak muda untuk tatapan anak muda,”
katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis prapelancaran festival itu
di sini hari ini, Khairy berkata dalam mengenal pasti, menggilap dan
memperagakan bakat anak muda, penganjuran kali ini juga dibahagikan
kepada empat zon utama iaitu Pemikiran, Komuniti, Seni dan Aktif.
Beliau berkata zon Pemikiran akan berunsurkan keusahawanan serta reka
cipta, zon Komuniti akan menyerlahkan program kemasyarakatan manakala
zon Seni dan Aktif pula masing-masing menampilkan bakat seni serta
pengisian berlandaskan aktiviti sihat dan mencabar.
Acara ikonik festival seperti Belia Berselawat, Karnival Kerjaya
Belia, Zombie Run, Jom Heboh dan Book Sale tetap dikekalkan di samping
acara baharu yang diperkenalkan antaranya Fit Malaysia serta One Silat
Championship, katanya.
Mengenai kos penganjuran, Khairy berkata sebanyak RM5 juta
diperuntukkan untuk festival kali ini namun yakin penganjuran secara
berhemah itu tetap boleh dilaksanakan dengan cemerlang dan berupaya
menggamit kehadiran pengunjung.
Selain penyediaan program menepati citarasa golongan muda, Festival
Belia itu sendiri sudah menjadi jenama yang mampu menarik kehadiran
pengunjung, katanya.
Beliau berkata penganjuran terdahulu memerlukan peruntukan yang agak
besar kerana terpaksa membeli iklan di media massa namun ia tidak lagi
diperlukan sekarang hasil penyebaran di media sosial. – BERNAMA