KLUANG – Pihak polis sedang giat memburu seorang pemuda yang disyaki menikam gadis bekas tunangnya di sini dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Roze Shaari berkata pihaknya
percaya suspek yang berusia lingkungan 20-an masih berada di negeri ini.
“Setakat ini hanya seorang suspek yang dikenal pasti terlibat dan
polis sedang berusaha untuk memberkasnya,” katanya kepada pemberita hari
ini.
Beliau berkata pihak polis sudah mempunyai petunjuk dan berharap dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.
Siasatan kes dilakukan dari pelbagai sudut termasuk meneliti rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam dan di luar pasar raya
tempat berlaku kejadian, katanya.
Mohd Roze berkata laporan bedah siasat mengesahkan punca mangsa
meninggal adalah disebabkan tusukan pisau di rusuk kiri dan terkena
paru-parunya.
Beliau berkata ia merupakan kes bunuh bermotifkan dendam serta cemburu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak polis.
Mangsa Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, dipercayai ditikam oleh bekas
tunangnya kerana merasa cemburu mangsa mempunyai pengganti dan bakal
berkahwin tidak lama lagi. – BERNAMA