Fudhla Afaf Jamnul Azmin |
ALOR SETAR - Seorang ibu merayu pada orang ramai supaya mendoakan anak gadisnya yang hilang sejak 17 April lalu dan masih belum ditemui hingga hari ini.
“Ya, dia masih hilang, tolong doakan dia selamat dijumpai,
tolong bacakan doa dan yasin sekali,” kata ibu berkenaan, Fadhilah Osman, 44 tahun.
Menurut Fadhilah, anak gadisnya, Fudhla Afaf Jamnul Azmin, berusia 19, dilaporkan hilang Jumaat lepas
(17 April 2015) tatkala mahu menaiki bas ke Klang ketika berada di
hentian bas Alor Setar, Kedah.
Katanya lagi, ketika hari kejadian anak gadisnya itu
memaklumkan bahawa dia mahu pulang ke rumah, namun
kelibatnya tidak muncul-muncul sehingga malam hari tersebut.
“Anak saya belajar di sekolah tahfiz Al-Hadis Alor Setar, hari itu dia
maklumkan, dia hendak pulang ke rumah (Klang) tetapi sampai sekarang dia
‘menghilang’,” katanya semalam sebagaimana yang dipetik dari Sinar Harian.
Fadhilah menjelaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak keluarga bagi mencari anak gadisnya itu, namun masih gagal hingga kini.
“Selepas dia dirasakan hilang kami telah membuat satu laporan polis
di Balai Polis Alor Setar, kemudian satu lagi laporan polis telah di
buat di Balai Polis Klang.
“Namun, pencarian anak gadis kami masih gagal, bacaan doa selamat turut kami lakukan,” ujarnya.
Fadhilah berkata, dia ada terdengar tentang kemungkinan bahawa anaknya telah dipukau ketika kejadian.
“Saya ada mendengar bahawa anak saya dipukau, namun saya tak pasti perkara tersebut.
“Memang anak saya ada sedikit masalah sebab sebulan sebelum kejadian kami ada merawatnya di Darul Syifa,” jelasnya mengenai Fudhla Afaf.
Justeru itu, Fadhilah merayu kepada orang ramai dan sesiapa yang melihat atau menjumpai anak gadisnya itu supaya menghubunginya seberapa segera atau menghantar pesanan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
“Hubungi saya di talian 012-3801664, doakan dia selamat dan sentiasa, berada bersama orang-orang yang baik,” rayu ibu tersebut.