SANDAKAN – Seorang gadis maut selepas kereta dipandunya terbabas dan
melanggar tiang telefon di Jalan Leila dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Mohd Zain, berkata dalam
kejadian 1.45 pagi itu, mangsa Jucelindah Robert, 20, dari Kampung Kuala
Sapi Beluran mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Katanya, ketika kejadian mangsa memandu keretanya dari arah Bandar Leila menghala Bandar Sandakan.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan terbabas ke bahu
kiri jalan dan melanggar sebatang tiang telefon lalu berpusing dan
terbalik,” katanya ketika dihubungi.
Zabidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan saksi diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – BERNAMA