KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran supaya
membubarkan skuad Harimau Muda iaitu skuad negara bawah 22 tahun bagi
menumpukan perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar
umbi.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata cadangan itu telah dimaklumkan kepada wakil FAM.
Beliau berkata kewujudan skuad Harimau Muda itu adalah untuk tempoh
jangka masa pendek dan tidak boleh diteruskan untuk jangka masa panjang.
Menurutnya beliau pernah membuat cadangan itu ketika memegang jawatan Timbalan Presiden FAM.
Sebelum ini pun saya pernah cadangkan supaya skuad Harimau Muda ini
dibubarkan. Kita perlu beri peluang kepada pemain untuk bermain dengan
kelab atau pasukan negeri, katanya ketika mengulas kegagalan skuad itu
ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun di Qatar tahun depan.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jam tangan Garmin
dengan navigasi sistem pengesanan global (GPS) di sini hari ini, Khairy
berkata sekiranya pemain skuad itu didedahkan dengan kelab atau pasukan
negeri, mungkin prestasi pemain akan meningkat dengan cepat.
Dengan cara itu, katanya, pemain akan lebih tahu tahap kemampuan
masing-masing berbanding bermain dalam kalangan kelompok mereka sendiri
di mana mereka tidak dapat meningkatkan kemahiran permainan
masing-masing.
Pada pusingan kelayakan Kumpulan I, skuad bimbangan Razip Ismail
hanya mampu menduduki tangga ketiga kumpulan selepas tewas kepada
Vietnam 2-1 dan Jepun 1-0 dan menang 2-0 ke atas Macau.
Khairy berkata semua pemain bawah 23 tahun Jepun, bermain dengan
kelab dalam liga tempatan sebelum dipanggil untuk mewakili negara itu.
“Peningkatan mutu bola sepak negara akan mengambil masa
sekurang-kurangnya masa lima hingga 10 tahun dan justeru itu, generasi
baharu dapat dilahirkan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara
(PPBN,” katanya.
“Selari dengan matlamat PPBN, kita juga mahu Liga Malaysia menjadi
lebih berdaya saing. Jika Liga Malaysia sendiri tidak berdaya saing,
akhirnya kita akan dapat keputusan yang sama,” katanya. – BERNAMA