Gagal Selesai 8 Saman Tertunggak, Lelaki Dihukum Penjara 51 Hari

ALOR SETAR – Seorang penunggang motosikal yang dihukum penjara 51 hari oleh Mahkamah Klang di Selangor semalam kerana gagal membayar lapan saman tertunggak yang berjumlah sebanyak RM2,350.

Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, lelaki berkenaan dijatuhkan hukuman tersebut kerana dia turut mempunyai waran tangkap ekoran saman tertunggak yang dikenakan terhadapnya.

“Penunggang motosikal tersebut telah dituduh di Mahkamah Klang dengan 13 pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 51 hari kerana gagal membayar denda sebanyak RM2,350,” katanya dalam satu kenyataan media..

Mohd. Fuad menjelaskan bahawa penunggang motosikal itu ditahan oleh seorang pegawai serta empat anggota cawangan trafik Klang Utara pada pukul 10 pagi pada 8 April lalu sebelum dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya lagi, lelaki tersebut ditahan sewaktu pegawai dan anggota polis trafik terbabit sedang menjalankan Ops Warta di Jalan Abd Manan, Klang.

“Cawangan Trafik Bukit Aman berharap orang ramai menunjukkan sikap bertanggungjawab untuk menyelesaikan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas mereka,” katanya kepada media. -Kedahnews.com