Gaji Minimum: Syarikat Keselamatan Didenda Mahkamah

KAJANG - Sebuah syarikat pengawal keselamatan didenda RM20,400 oleh Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas 17 pertuduhan gagal membayar gaji minimum kepada enam pekerjanya tahun lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Elite Group Sdn Bhd, dan memerintahkan wakil syarikat itu iaitu pegawai Bahagian Sumber Manusianya dipenjara 51 bulan jika gagal membayar denda itu.
Syarikat itu membayar denda berkenaan.
Bagi lima belas pertuduhan itu, Syarikat Elite Group sebagai majikan didakwa gagal membayar gaji minimum kepada pekerjanya Yusof Hisham, 65, Mohd Isa Mat Surany, 49, Hasnah Mohd Noor, 56, Zaharah Awang, 44, dan Nik Wail Nik Yusoff, 58, sebagaimana ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum iaitu sebanyak RM4.33 sejam bagi April, Mei dan Jun tahun lepas.
Majikan itu didapati membayar gaji minimum sebanyak RM2.10 sejam kepada pekerja itu.
Bagi dua lagi pertuduhan, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan sama terhadap pekerjanya A.Rathai, 42, dengan tidak membayar gaji minimum yang sama bagi Mei dan Jun tahun sama.
Semua kesalahan itu dilakukan di No 43-A Jalan Jernang Jaya 1, Taman Jernang Jaya, Kajang di sini, pada  12 tengah hari, 7 Ogos tahun lalu.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.
Menurut fakta kes, pasukan penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor yang membuat pemeriksaan terhadap Syarikat Elite Group mendapati majikan syarikat itu gagal membayar gaji enam pekerja berkenaan sebagaimana yang termaktub di dalam peruntukan Perintah Gaji Minimum.
Ketika rayuan, peguam Rahmah Othman yang mewakili syarikat itu memohon mahkamah mengenakan denda yang minimum dengan alasan syarikat itu telah membayar keseluruhan gaji minimum tertunggak itu kepada pekerjanya itu.
Pegawai Pendakwa Siti Nur Alifah Hairudin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan majikan syarikat itu tidak pernah menghantar surat memohon penangguhan bayaran gaji minimum pekerjanya kepada Majlis Perundingan Gaji Negara.
Syarikat itu juga tidak membayar gaji minimum RM4.33 kepada pekerjanya sejak April 2013.
"Namun, sebagai pengajaran kepada majikan syarikat itu, pihak pendakwa hanya memilih untuk membuat pertuduhan bagi April, Mei dan Jun 2014 sahaja," katanya. - Bernama