Hanya kerana ayam goreng, wajarkah kita hamburkan carutan pada pekerja restoran? |
Mungkin ramai pihak sebelum ini yang berpandangan dan memegang prinsip bahawa "customer is always right" yang membawa maksud segala yang dilakukan oleh pelanggan adalah betul serta tidak perlu dipertikai.
Namun, benarkah pandangan itu masih relevan untuk digunapakai? Bagaimana jika kita letakkan diri di bahagian "front line" yang terpaksa berdepan dengan pelanggan yang biadap dan memaki hamun sesuka hati?
Mungkin itulah yang dirasai oleh seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera MarryBrown di Souq Al-Bukhary di sini, apabila dia menjadi mangsa maki hamun dan dicarut pelanggan semalam.
Menceritakan kejadian, Azmin selaku juruwang yang bertugas ketika itu menyambut manis seorang pelanggan wanita bertudung yang datang bersama keluarganya dengan dan mengambil pesanan seperti biasa.
Kata Azmin, wanita itu memesan ayam berperisa "original" dari set "Lucky Plate" dan mahukan bahagian "drumstick" serta beberapa pesanan makanan lain.
"Dia nak (ayam berperisa) original, jadi saya maklumkan padanya.. dia terpaksa tunggu kalau nak yang (perisa) original... kita ada spicy saja yang tinggal dalam warmer masa tu.
"Kemudian dia kata.. dia nak tunggu jugaklah ayam (perisa original) tu.. jadi saya maklumkan padanya dia kena tunggulah selama lebih kurang 15 minit," jelas Azmin kepada pelanggan berkenaan yang kemudian menuju ke meja di restoran tersebut.
Cashier bertugas ketika insiden, Azmin... |
Selang empat minit kemudian, wanita itu kembali ke kaunter dan memesan beberapa makanan tambahan, seraya bertanyakan tentang "Lukcy Plate" yang masih belum diterimanya.
Azmin menjelaskan bahawa ayam perisa "original" yang dipesan itu belum lagi masak dan ia memerlukan tempoh 15 minit untuk benar-benar sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan berkenaan.
Wanita bertudung itu memprotes mengatakan dia melihat pelanggan lain telah menerima ayam goreng yang dipesan dan mempertikai mengapa dia perlu menunggu lebih lama.
"Saya beritahulah kat dia.. yang cik order tu ialah ayam ori..yang orang lain order tu ayam spicy..so ayam spicy tu dah ready..so diorang dapat dululah.. ayam yang cik order tu ayam original.. ayam original kena tunggulah selama 15 minit.
Kembali ke mejanya, Azmin memberitahu bahawa wanita itu mula membebel dan memaki hamun para pekerja restoran tersebut.
"Lepas tu.. dia mulalah cakap.. apa ni..layanan pun macam 'tuuuutt'.. lepas tu lambat.. lembab... semua ada.. lepas tu dari jauh (meja pelanggan) dia kata..kalau macam tu saya nak cancel la order," cerita Azmin.
Memandangkan pelanggan wanita itu mahu membatalkan pesanan, Azmin segera membatalkan pesanan tersebut dan memberi sejumlah wang kepada pengurus bertugas ketika itu, Hanis, untuk dipulangkan kepada pelanggan itu.
Malangnya kata Azmin, Hanis telah dihamburkan dengan makin hamun dan dicarut oleh pelanggan wanita itu sejurus mengambil wang berkenaan secara kasar.
"Dengan baik saya serahkan duit baki pada pelanggan tu.. kak.. ni saya serahkan duit balance RM10.55...
"Kakak tu terus rampas duit tu dari saya... dan dia cakap.. 'layan customer macam " tuuuuuut", dan saya pun macam terkejutlah dengan reaksi macam tu," kata Hanis yang tidak menyangka akhlak seorang wanita bertudung tergamak melemparkan perkataan mencarut sewenang-wenangnya.
Pengurus bertugas, Hanis |
Hanis turut menjelaskan bahawa suami pelanggan wanita itu turut mempertikai tentang "hot tea" yang diterimanya dan dikatakan pahit seolah tidak bergula.
Jelas pengurus restoran itu, sememangnya teh panas yang dihidangkan di restoran berkenaan tidak diletakkan gula ekoran amalan standard di mana ada sesetengah pelanggan yang tidak mahu gula, mahu teh kurang manis, tidak mahu krimer dan sebagainya.
Namun Hanis memberitahu pihaknya turut menyediakan dua paket gula dan dua paket krimer untuk pelanggan yang memesan minuman panas di restoran berkenaan.
Sikap pelanggan yang memaki hamun dan mencarut pada kakitangan restoran berkenaan adalah amat dikesali memandangkan mereka telah memberikan layanan terbaik kepada para pelanggan.
Pada pandangan kakitangan restoran itu, meskipun pelanggan dikatakan sebagai "sentiasa betul", ia bukanlah satu tiket untuk mereka memaki hamun orang lain sewenang-wenangnya.
Benarlah kata Rasulullah SAW yang dalam sabdanya;
"Seorang Muslim adalah seseorang memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain." (riwayat Bukhari)
Bagi Kedahnews.com, kami memandang tinggi kesabaran kakitangan MarryBrown di Souq Al-Bukhary dalam melayan sejuta macam kerenah para pelanggan selama ini tanpa menghamburkan kata-kata keji meskipun dimaki hamun dan dicarut begitu.
Kepada para pelanggan seperti kami, kami mengharapkan agar kita semua menjaga lidah sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah SAW dan tidak memaki hamun sesuka hati kerana Islam melarang kita berbuat demikian.
Justeru itu, sama-samalah kita mengambil iktibar atas insiden yang berlaku semalam di restoran milik bumiputera itu dan semoga Allah sentiasa memberi hidayah kepada kita untuk mengubah akhlak kita kepada yang lebih pada masa yang akan datang. Wallahu'alam. -Kedahnews.com