Gaya Mewah Gadis-Gadis Mexico...

LETICIA bergaya dalam limosin yang akan membawa dia dan tetamunya ke lokasi majlis.
Kini sudah menjadi amalan bagi remaja perempuan di bandar Monterrey, Mexico, meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke 15 dengan mengadakan majlis besar-besaran.

Menurut tradisi Amerika Latin, usia 15 adalah titik peralihan daripada peringkat kanak-kanak kepada wanita atau lebih dikenali sebagai ‘quinceanera.’

Sofia, 15, adalah antara ramai remaja belasan tahun Monterrey yang meraikan ‘quinceanera’ dengan menaiki bukan satu, tetapi beberapa limosin mewah, bersama-sama rakan yang dipelawa me­nyambut majlis berkenaan.

Majlis menyambut quinceanera semakin bertambah mewah dengan ibu bapa menghabiskan sejumlah besar wang untuk memastikan majlis anak mereka itu menjadi kena­ ngan yang tidak akan dilupakan.

BEBERAPA jemputan terpaksa membantu rakan mereka memastikan gaun yang dipakainya tidak rosak ketika menaiki limosin.
Bagaimanapun, acara itu bukan dibiayai oleh ibu bapa saja.

Anggota keluarga lain juga diminta menaja beberapa bahagian majlis berkenaan, seperti kek atau DJ.

Kadangkala majlis yang diadakan begitu meriah sehingga hampir sama dengan majlis perkahwinan. Rakan lelaki yang dipelawa juga datang de­ngan penampilan yang sesempurna mungkin untuk meraikannya.

Sama seperti tari menari meraikan tamat pengajian di Amerika Syarikat, gadis yang menyambut quinceanera di Mexico juga akan ditemani teman lelaki atau kekasihnya yang biasanya akan muncul seperti ‘pengantin lelaki,’ dengan pakaian yang sama tema.

Kek juga penting. Lebih besar, lebih menarik perhatian dan lebih membanggakan keluarga gadis itu.

Trend lain, termasuk koreografer untuk memberi sentuhan profesional dan memastikan semuanya berjalan lancar, dari ketibaan gadis itu di dewan majlis hingga ke tarian pertamanya.

SOFIA, 15, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-15 dengan majlis besar-besaran.
Masyarakat Amerika Latin di Amerika Syarikat juga memandang serius pada quinceanera dengan ramai gadis turut menjadikan tema filem popular untuk majlis mereka.

Sebagai contoh, apabila Disney menerbitkan filem popular Frozen pada 2014, ia mendorong permintaan terhadap gaun Elsa.

Berbeza dengan masyarakat orang asli di hutan seperti di Guatemala, mereka meraikan quinceanera jauh lebih ringkas.

Menurut cerita rakyat Mexico, sebelum menginjak usia 15, anak perempuan diajar pelbagai kemahiran termasuk memasak, menenun dan cara mengasuh anak sebagai persiapan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
TETAMU yang dijemput ke majlis itu berpakaian sedondon.

Sumber: myMetro