Gambar Hiasan |
KUANTAN- Penunggang motosikal berkuasa tinggi tidak digalak
menganjurkan konvoi dalam jumlah yang besar kerana ia berisiko tinggi
ditimpa kemalangan jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abdul
Haris Lakar berkata jika salah seorang peserta konvoi terjatuh, lazimnya
beberapa rakan di belakang akan terlibat sama kerana tidak sempat
mengelak atau memberhentikan motosikal.
“Lebih baik jika konvoi dilakukan dalam dua atau tiga orang sahaja,
dan diselang dengan dua atau tiga orang lagi di belakang, dalam jarak
yang selamat,” katanya.
Abdul Haris berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
program advokasi khas bersama JKJR di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Selasa.
Beliau berkata kesilapan yang sering dilakukan penunggang motosikal
berkuasa besar semasa berkonvoi adalah menggunakan laluan paling kanan.
Sedangkan laluan itu sebenarnya untuk tujuan memotong dan kenderaan
yang menggunakannya perlu kembali ke laluan tengah selepas selesai
memotong, kata beliau.
“Ada pengguna jalan raya lain membuat rungutan mengenai situasi yang
mereka hadapi dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi ini. Sebab itu
kita harap mereka (berkenaan) boleh melaksanakan aktiviti berkonvoi
secara berhemah.
“Lakukan dalam kumpulan yang kecil, ikut peraturan dan had laju yang
selamat serta dapatkan khidmat ‘marshall’ yang bertauliah selain
mempunyai seorang ‘sweeper’ di akhir konvoi,” katanya.
Selain itu, Abdul Haris mengingatkan semua penunggang motosikal agar
menggunakan topi keledar yang menepati spesifikasi SIRIM kerana ia telah
menjalani ujian ketahanan.
“Masih ada penunggang motosikal yang menggunakan topi keledar
berbentuk separuh atau ‘kura-kura’ yang sebenarnya dibuat untuk tujuan
rekreasi dan tidak sesuai digunakan atas jalan raya,” katanya.
Pada program itu, JKJR mengadakan demonstrasi yang menunjukkan topi
keledar tanpa kelulusan SIRIM mudah dipecahkan dengan hanya menggunakan
tukul.
Abdul Haris kemudian menyampaikan sumbangan 100 topi keledar dan 100
jaket dan pelekat pantulan cahaya kepada kakitangan dan penuntut UIAM
yang melalui laluan utama kampus itu. – BERNAMA