KUALA LUMPUR – Sebanyak 815 aduan diterima mengenai Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) sehingga semalam, persidangan Dewan Rakyat diberitahu
hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata daripada jumlah
itu, 40 peratus merupakan aduan mengenai pembelian kad tambah nilai
prabayar telefon yang turut dikenakan caj GST.
“Pada ketika saya menjawab soalan ini, pihak Kastam Diraja Malaysia
telah memanggil syarikat telekomunikasi untuk memberi keterangan
mengenai aduan yang diterima ini.
"Jika mereka berdegil tidak mahu mengikut arahan, maka kita akan bawa
kes ini ke mahkamah dan ianya akan jadi kes pertama sekiranya masih
berdegil,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Sapawi Amat
Wasali (BN-Sipitang).
Sapawi ingin mengetahui jumlah aduan yang diterima setelah GST
dilaksanakan semalam di seluruh negara memandangkan rata-rata rakyat
negara ini memuat naik resit pembelian kad tambah nilai prabayar telefon
yang dikenakan caj GST di laman media sosial.
Ahmad menasihatkan pembeli menyimpan resit pembelian dan pergi semula
ke mana-mana premis perniagaan bagi membuat tuntutan bayaran balik wang
yang telah dibayar semasa membeli kad tambah nilai prabayar telefon.
Kepada soalan tambahan yang diajukan Datuk Abdul Rahman Mohamad
(BN-Lipis) mengenai tindakan sesetengah syarikat memecahkan akaun bagi
mengelak membuat pendaftaran GST, Ahmad berkata: “Strategi yang mereka
ambil itu silap”.
Katanya, apabila akaun syarikat dipecahkan bagi mengelak untuk
mendaftar GST kerana mempunyai pendapatan tahunan di bawah paras
RM500,000, maka syarikat berkenaan tidak boleh menuntut cukai input.
“Kalau tidak boleh tuntut, maka kos perniagaan mereka akan meningkat
enam peratus berbanding pesaing mereka yang mendaftar GST,” katanya.
Ahmad berkata sehingga semalam, sebanyak 364,862 syarikat telah mendaftar GST.
Mengenai bil perkhidmatan penyelenggaraan rumah kos rendah, Ahmad
berkata ianya dikecualikan GST namun tidak bagi mereka yang tinggal di
kawasan komuniti berpagar dan perumahan mewah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Siti
Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang ingin tahu sama ada bil perkhidmatan
penyelenggaraan rumah kos rendah dikenakan GST.
“Sekiranya ada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengenakan
GST, maka pengguna boleh lapor ke talian GST 1300-888-500,” kata Ahmad.
Beliau berkata menerusi promosi penerangan GST, maklum balas daripada
orang ramai turut dikumpul dan majoriti mengakui bahawa kesedaran
mengenai cukai itu sudah meningkat berbanding sebelum ini. - BERNAMA