KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 49,403 premis perniagaan dari 1 hingga 7
April lepas bagi memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) yang diperkenalkan awal bulan ini.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dalam
81 operasi bersepadu itu yang dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja
Malaysia, sebanyak 320 notis dikeluarkan dan 119 kes dicatat.
“Kita menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak
menaikkan harga sewenang-wenangnya selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) dilaksanakan”, katanya menjawab soalan Anyi Ngau (BN-Baram) pada
persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.
Anyi bertanya mengenai tindakan yang diambil kementerian bagi
memantau premis perniagaan supaya tidak menaikkan harga barangan selepas
pelaksanaan GST.
Ahmad Bashah berkata dalam tempoh sama, sebanyak 2,893 aduan diterima
melalui laman web kementerian, 4,343 di laman Facebook dan Twitter
serta 2,631 aduan daripada talian ‘hotline’ 24 jam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 335,647 premis
diperiksa dalam Ops Catut dari 15 Januari hingga 4 Mac lepas.
Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 1,185 kes direkodkan membabitkan
rampasan bernilai RM384,834.62 dan kompaun sebanyak RM235,986.70.
“Ia melibatkan kesalahan tidak meletak tanda harga, kekeliruan harga
serta penggunaan alat timbang yang tidak sah,” katanya. – BERNAMA