#GST: Apakah Peranan Zakat Dan Wakaf?

Ramai mungkin tertanya-tanya apa kaitannya antara cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan zakat dan wakaf. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh zakat dan wakaf dalam keadaan ekonomi semasa?

Sejak pelaksanaan GST yang dikuatkuasakan baru-baru ini, pelbagai reaksi pengguna dan industri dapat dilihat. Ada yang negatif dan ada juga positif. Namun, satu isu yang mungkin masyarakat terlepas pandang adalah peranan zakat dan wakaf dalam pelaksanaan GST di negara kita sekarang.

Apabila bercakap mengenai GST, semua pihak memahami bahawa sistem ini adalah sejenis cukai yang dikutip daripada rakyat. Begitu juga halnya dengan zakat yang juga adalah cukai yang dikutip daripada golongan kaya untuk diserahkan kepada golongan miskin.

Wakaf pula adalah sesuatu harta yang disumbangkan oleh golongan kaya dan berharta untuk manfaat umum. Kedua-dua sistem ekonomi Islam ini diurus oleh dua institusi besar iaitu institusi zakat dan institusi wakaf.

Perkaitan antara zakat dan wakaf dalam pembangunan ekonomi terutama dalam konteks pelaksanaan GST adalah sesuatu yang perlu. Masyarakat terutamanya umat Islam wajar mencari formula baharu untuk mengadaptasi peningkatan kos sara hidup dan cara bagi membangunkan diri, keluarga dan masyarakat melalui pendekatan Islam.

Institusi zakat boleh terus memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf untuk mengubah kehidupan mereka. Setidak-tidaknya golongan ini boleh menjadi golongan pembayar zakat pada suatu masa nanti.

Penulis melihat beberapa institusi zakat yang telah berjaya melahirkan usahawan dalam kalangan asnaf. Usaha ini amat terpuji dan baik. Namun, tidak semua institusi zakat berjaya melaksanakan usaha tersebut.

Justeru, kerajaan disaran mengangkat institusi zakat ke tempat yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan untuk dicadangkan agar institusi ini menjadi teras utama sistem ekonomi negara. Jika ini direalisasikan, nescaya akan lebih ramai asnaf mendapat manfaatnya.

Selain itu, institusi wakaf turut wajar ditranformasikan agar peranannya kepada masyarakat akan lebih menyerlah. Bagaimana proses transformasi ini boleh dilaksanakan?

Penulis tertarik dengan laporan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini berkaitan cadangan Presiden Universiti Islam Malaysia (UIM), Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor supaya kerajaan mewakafkan bangunan-bangunan lama kepada pihak yang berhasrat menjalankan aktiviti bermanfaat kepada masyarakat.

Bangunan yang berstatus antik boleh diwakafkan agar status bangunan itu lebih terjaga dengan adanya pelbagai program berfaedah kepada masyarakat.

Langkah tersebut dapat menjamin status hak milik bangunan di samping dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebagai contoh, bangunan lama di kawasan strategik boleh diwakafkan kepada suatu badan wakaf untuk dimajukan sama ada sebagai sebuah pasar raya atau pasar sehari. Pengurusan wakaf bangunan tersebut mungkin boleh menarik para peniaga untuk berniaga di situ.

Mungkin bagi menampung kos pengurusan dan pembersihan, sedikit yuran boleh dikenakan. Ataupun konsep wakaf tunai digunakan dengan tidak mengenakan sebarang bentuk yuran tetapi terpulang kepada setiap peniaga untuk menyumbang berapa banyak wang kepada pihak pengurusan.

Pelaksanaan aktiviti perniagaan seperti ini sudah pasti mampu mengurangkan kos operasi di pihak peniaga. Ini kerana setidak-tidaknya mereka tidak lagi dibebani kos sewa yang tinggi. Penjimatan kos sewa ini dapat digunakan bagi menampung kenaikan kos harga barang dan cukai yang dibayar.

Apabila perkara ini berlaku, peniaga yang jujur tidak akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka. Ini mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk berkunjung ke premis ini dan sudah pasti pembangunan ekonomi masyarakat di sekitarnya akan berlaku dengan rancak.

Perkara di atas adalah contoh kecil peranan wakaf dalam keadaan ekonomi semasa. Jika kita ingin membincangkan dalam aspek yang lebih luas, konsep wakaf korporat adalah sangat bertepatan dalam hal ini.

Ini kerana potensi wakaf korporat dalam pembangunan ekonomi adalah sangat besar. Logiknya apabila semua hak milik harta kekayaan syarikat diserahkan kepada Allah SWT, maka setiap masyarakat sama ada yang miskin mahupun kaya, Islam ataupun tidak akan sama-sama mendapat manfaatnya.

Dalam hal ini sebagai contoh kerajaan boleh menjadikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sebagai sebuah badan wakaf korporat. Ini bermaksud pemilikan harta syarikat-syarikat ini bukan diserahkan kepada seseorang individu atau kumpulan tertentu sahaja tetapi kepada wakaf korporat.

Wakaf korporat ini boleh menguruskan aset, perniagaan dan harta kekayaan yang hak miliknya adalah orang ramai.

Keuntungan perniagaan boleh diberikan kepada umat Islam sekitar ataupun terus dilaburkan untuk manfaat jangka panjang.

Kesimpulannya, dalam keadaan semasa, zakat dan wakaf mempunyai peranan besar kepada masyarakat. Kedua-dua sistem ini boleh menjadi pemangkin kepada lonjakan penguasaan ekonomi dan meminimumkan kesan kos cukai masyarakat dalam pelaksanaan GST.

*DR. RAM AL JAFFRI SAAD, PENULIS ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia./Utusan