KUALA LUMPUR – Pasaraya Mydin hari ini menjelaskan keputusan untuk
menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana mahu meringankan
beban pelanggannya ekoran peningkatan kos sara hidup pada masa kini.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin
berkata pelanggan tidak perlu risau kerana mereka masih boleh
mendapatkan pelbagai barang pada kadar harga sama walaupun sistem
percukaian itu mula dilaksanakan esok.
“Buat masa ini, kami akan menanggung GST kerana kami mahukan yang
terbaik untuk semua pelanggan rangkaian Mydin, MyMydin dan Kedai Rakyat
1Malaysia (KR1M).
“Jadi pelanggan tidak perlu panik dan boleh terus berkunjung ke Mydin
untuk mendapatkan barangan keperluan mereka,” katanya kepada Bernama di
sini.
Beliau berkata kebelakangan ini ramai kalangan pelanggan rangkaian
pasar raya itu menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan GST.
Ameer berkata ada yang membuat pembelian secara panik kerana
menyangka semua barangan di Mydin akan dinaikkan harga bermula esok.
“Saya ingin meyakinkan pelanggan, harga barangan kami akan seperti
biasa, tidak perlu panik dan berbelanjalah seperti biasa,” katanya.
Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa lebih ramai peniaga mencontohi Pasaraya
Mydin yang memutuskan untuk menyerap enam peratus GST.
Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata langkah Mydin itu disambut
baik kementerian kerana dapat membantu menjayakan inisiatif yang diambil
kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasaraya Mydin Jalan Masjid India
mendapati urusan jual beli adalah seperti biasa dan tiada pembelian
panik berlaku. – BERNAMA