#GST: Berita Baik Untuk Kaum Hawa, IKEA Tidak Naik Harga #PerangHarga

ALOR SETAR – Berita baik buat rakyat Malaysia khususnya golongan Hawa yang gemar membeli-belah barangan kelengkapan rumah di syarikat IKEA di mana syarikat itu mengumumkan untuk mengekalkan harga produknya seperti harga lama.

IKEA yang dioperasikan oleh Ikano Pte Ltd dalam satu kenyataan rasmi mengulangi pengesahan bahawa harga produk dalam Katalog IKEA 2015 kekal seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengurus IKEA cawangan Damansara, Gerard Jansen menegaskan bahawa premis itu komited dalam menawarkan kelengkapan rumah buatan Sweden dengan harga berpatutan, bersesuaian dengan reka bentuk menarik, berfungsi dengan baik dan berkualiti kepada pengguna di negara ini.

“Pelanggan akan terus menikmati produk dan penyelesaian berharga rendah sekalipun GST sudah dilaksana. Kami harap langkah ini akan membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan lebih selesa di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik dari Bernama.

Perniagaan berpangkalan di Sweden itu juga mengulangi jaminan bahawa syarikat antarabangsa itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keperluan pelanggan sentiasa diutamakan. -Kedahnews.com