#GST: Konon Yuran IPT Naik, Jawatankuasa Naib Canselor Dan Rektor Bidas Presiden PKPIM

Dakwaan berhubung kenaikan yuran pengajian dan penginapan di semua 20 insitusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebaik sahaja pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah dinafikan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar malah sengaja disebarkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan keadaan panik.

"Saya menyeru mahasiswa ti­dak panik dan terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak sahih seperti itu serta merujuk kepada pejabat hal ehwal dan kewangan di universiti masing-ma­sing," katanya dalam kenyataan di Kangar, semalam.

Kamaruddin mengulas kenyataan Pre­­siden Persatuan Kebangsaan Pe­­lajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohammad Fazril Mohd. Saleh menerusi portal Harakah Daily tentang persa­tuan itu menerima aduan daripada mahasiswa berhubung notis kenaikan yuran pengajian dan asrama.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu berkata, adalah tidak logik yuran dinaikkan kerana ketika ini mahasiswa berada di pertengahan semester, dengan yuran pengajian dan penginapan telah ditolak daripada pinjaman atau biasiswa.

"Oleh itu, dakwaan kenaikan yuran disifatkan sebagai melulu kerana sepatutnya masalah ber­kenaan boleh disalurkan menerusi pelbagai saluran di universiti untuk dibincangkan," katanya.

Beliau dengan tegasnya berkata, semua program akademik yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta perkara yang terbabit secara langsung de­ngan aktiviti pengajaran dan pem­belajaran tidak akan dikenakan GST.

 
Namun Kamaruddin mengakui terdapat beberapa yuran pengajian dan penginapan yang berkonsepkan penjanaan kewangan uni­versiti akan mengalami peningkatan bagi menampung kos operasi.

"Memandangkan hampir kesemua program akademik yang ditawarkan di universiti diiktiraf MQA maka GST tidak akan dikenakan ke atas yuran serta perkara lain secara langsung dengan penawaran program ini," katanya.

Jelas beliau, bagi pelajar pascasiswazah yang berstatus eksekutif, yuran kursus terpaksa dinaikkan kerana bermotifkan keuntungan.

"Kenaikan itu meliputi yuran penginapan dan sewa penginapan di luar semester pengajian terutama dari pihak luar," katanya.

Menurut Kamaruddin, pelajar akan membayar harga sama seperti kebiasaannya bagi yang masih tinggal di asrama pada cuti semester untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. - Azlin Hussain/Kedahnews.com