GST: Masing-Masing Umum Turun Harga, "Perang Harga" Meletus Antara Syarikat Pengeluar Kenderaan?

ALOR SETAR – Baru sehari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, "perang harga" meletus di kalangan syarikat pengeluar kenderaan di Malaysia menyaksikan pengumuman penurunan harga bagi model kenderaan keluaran syarikat masing-masing.

Jika semalam Toyota dan Lexus diumumkan menurunkan harga kenderaan keluaran mereka sehingga mencecah RM4,000 seunit, hari ini pula Proton Holdings Bhd (Proton) turut mengumumkan penurunan harga kenderaan keluaran syarikat automotif negara itu.

Proton mengumumkan harga baharu model terpilih kenderaannya yang dikurangkan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus seunit berkuat kuasa hari ini.

Dalam pengumuman tersebut, harga di atas jalan itu termasuk kesemua model kenderaan syarikat itu merangkumi Proton Saga, Persona, Inspira, Satria Neo, Exora, Preve, Suprima S dan Iriz, kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.

Kesemua harga berkenaan adalah termasuk cukai enam peratus sebagaimana ditetapkan GST.

“Pengguna bukan sahaja membeli kereta yang bernilai untuk wang mereka, tetapi turut memiliki kualiti serta ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

“Sebagai contoh, pengguna boleh membeli seunit Proton Saga pada harga serendah RM33,242.40 atau memiliki Preve 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah dalam kenyataan tersebut.

Proton menjelaskan bahawa sebagai satu-satunya pengeluar kereta yang lengkap sepenuhnya di rantau ini, syarikat itu sentiasa berdedikasi untuk memenuhi peranan berkhidmat kepada negara, khususnya bagi memenuhi matlamat pelaksanaan GST berkenaan.

Malah beiau menegaskan bahawa meskipun perlu mengurangkan harga keretanya, Proton sebaliknya turut meningkatkan tambah nilai produk mereka menerusi aspek keselamatannya.

Katanya, tindakan itu sekaligus memaparkan komitmen Proton untuk terus mempertingkat produk dan perkhidmatannya di semua peringkat, serta menawarkan rakyat Malaysia pilihan yang lebih menarik untuk memiliki kereta yang selamat, berkualiti dan bernilai untuk wang.

Maklumat lanjut mengenai penurunan harga dan tawaran terbaru Proton itu boleh diperolehi di laman sesawang rasmi syarikat itu di "www.proton-edar.com.my". –Kedahnews.com