KUANTAN – Pengguna perlu menggunakan saluran tepat bagi menyampaikan
aduan atau masalah berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tanpa
mengharapkan penyelesaian dapat dibuat melalui media sosial, kata
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Datuk Sarip
Ismail.
Beliau berkata tidak dinafikan peranan yang dimainkan oleh media
sosial banyak membantu dalam memberi penerangan tentang GST namun aduan
itu tidak akan menemukan jalan penyelesaikan tanpa merujuk kepada pihak
yang bertanggungjawab.
Mungkin kekeliruan tentang GST akan bertambah rumit setelah mendapat
reaksi dan penerangan yang kurang tepat mengenai pelaksanaannya dalam
laman sosial, katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu
Anti-Pencatutan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai membuat rujukan serta mendapatkan maklumat
yang tepat melalui saluran yang betul bagi mengelak kekeliruan atau
melayari laman sesawang JKDM untuk rujukan atau menyampaikan maklumat.
Sebarang aduan dan maklumat yang diterima membolehkan pihaknya
mengambil tindakan lebih cepat berbanding penyebaran yang diterima
melalui media sosial, katanya.
Pengarah KPDNKK Pahang Sharuddin Jali yang turut serta dalam operasi
itu berkata KPDNKK Pahang telah menerima sebanyak 30 aduan daripada
orang ramai termasuk harga kad tambah nilai prabayar yang dikenakan GST
sedangkan ia tidak sepatutnya dikenakan GST.
Katanya, KPDNKK Pahang telah membuka Bilik Gerakan Anti-Pencatutan bagi sebarang aduan mengenai GST melalui talian 09-5732117.
Di ALOR SETAR, KPDNKK Kedah menerima sebanyak 12 aduan berhubung
kenaikan harga barang seperti susu, tepung dan kad tambah nilai prabayar
sejak GST dilaksanakan semalam.
Pengarahnya Mohamad Fitri Hassan berkata pihaknya hari ini juga
mengeluarkan dua notis bagi kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat (ATS)
1972 dalam pemeriksaan di Alor Setar dan Sungai Petani, menjadikan empat
notis dikeluarkan sejak dua hari pelaksanaan GST.
“Dua notis telah dikeluarkan … kompaun sebanyak RM100 setiap satu notis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fitri berkata pihaknya akan ke lokasi yang dilaporkan itu
bagi melakukan pemeriksaan terhadap aduan berkenaan dan jika terbukti
benar, akan mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit.
Di ARAU, KPDNKK Perlis mendapati segelintir peniaga mengenakan GST
pada barangan yang tidak sepatutnya dikenakan cukai itu kerana mendakwa
tidak faham dan keliru.
Pengarahnya Khairul Amin Talib yakin situasi itu dijangka berubah dalam masa dua minggu lagi.
KPDNKK negeri menerima tiga aduan membabitkan enam peniaga yang
didakwa enggan menjual kad tambah nilai kerana mendakwa keliru sama ada
ia dikenakan GST atau tidak, katanya kepada pemberita selepas Operasi
Pematuhan GST bersama-sama JKDM Perlis di sini, hari ini.
Ketua Penguatkuasa JDRM Perlis, Abdul Rashid Embong berkata pengusaha
restoran dibenarkan mengeluarkan resit yang ditulis tangan untuk
mengenakan GST dengan syarat ada cetakan nombor GST pada resit tersebut.
“Kompaun sehingga RM50,000 boleh dikenakan terhadap pengusaha
restoran yang mengutip GST menggunakan resit bertulis tangan tanpa ada
cetakan nombor GST,” katanya.
DI SEREMBAN, KPDNKK Negeri Sembilan menerima 47 aduan berkaitan
dengan anti pencatutan iaitu 28 aduan semalam dan hari ini sebanyak 19
aduan setakat pukul 1 tengah hari.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar,
Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza berkata
kebanyakan aduan yang diterima KPDNKK adalah mengenai pembelian kad
tambah nilai prabayar telefon yang dikenakan GST dan kenaikan harga
barang.
“Sebanyak 12 notis telah dikeluarkan sepanjang dua hari pelaksanaan
GST … KPDNKK dan JKDM akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan
peniaga mematuhi pelaksanaan GST.
“Disamping itu juga, kami memohon orang ramai untuk memberi maklumat
berkenaan kenaikan harga barangan,” katanya kepada pemberita selepas
membuat operasi pematuhan pelaksanaan GST/Pencatutan di pasaraya Family
Store, Sikamat di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah KPDNKK Negeri
Sembilan Mohd Salleh Ma’amor.
Di KOTA KINABALU, KPDNKK Sabah menerima 64 aduan daripada pengguna
seluruh negeri meliputi pelbagai kategori termasuk kad tambah nilai
prabayar dikenakan GST, resit pembelian tidak dinyatakan nombor
pendaftaran GST dan pengguna dikenakan cukai lain, selain GST.
Pengarahnya Severinus Tukah berkata pihaknya membuat sebanyak 1,281
pemeriksaan pada hari pertama GST dilaksanakan bagi memantau dan
memastikan peniaga mematuhi undang-undang.
“Daripada pemeriksaan itu, KPDNKK Sabah mengeluarkan satu notis
berhubung kad tambah nilai prabayar dan dua lagi kes yang diambil
tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat,” katanya kepada Bernama dan
RTM di sini, hari ini.
Severinus berkata Ops Catut diadakan setiap hari di seluruh negeri
dengan menggerakkan lebih 200 pegawai KPDNKK Sabah bersama pegawai JKDM
bagi memantau situasi terkini pelaksanaan GST.
Beliau menggalakkan pengguna mengemukakan apa sahaja aduan dan
kekeliruan mengenai pelaksanaan GST bagi mengelak mereka daripada ditipu
oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Di KOTA BAHARU, KPDNKK Kelantan menerima sebanyak 31 aduan daripada orang ramai berkaitan cukai berkenaan.
Penolong Pegawai Penguatkuasanya Mohamed Restam Mohamed Zin berkata
pihaknya dengan kerjasama JKDM telah menjalankan pemeriksaan di lima
jajahan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Gua Musang dan Kota
Baharu.
“Pemeriksaan dibuat di pasar raya, kedai makan, kedai perabot, kedai elektrik dan beberapa premis lain.
“Dalam operasi berkenaan sebanyak 21 notis di bawah Seksyen 21 Akta
Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan,” katanya
ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. -BERNAMA