KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai
semalam telah berjaya mewujudkan persaingan sihat bagi industri
automotif negara selain menjadikannya lebih berdaya saing.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata, ini terbukti apabila beberapa syarikat
automotif mengambil langkah menurunkan harga kereta selaras pelaksanaan
cukai baharu itu.
Antara syarikat yang menurunkan harga kenderaan serta alat ganti ini
termasuk Proton Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd
(Perodua) serta Honda Malaysia Sdn Bhd.
“Inilah yang diharapkan dan langkah ini selaras jangkaan kerajaan
apabila melaksanakan GST pada kadar enam peratus bagi menggantikan SST
(Cukai Jualan dan Perkhidmatan) pada kadar 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Halal Dunia 2015, di sini, hari ini.
Persidangan dua hari bertemakan ‘Ekonomi Halal:Penumpuan Yang
Menguntungkan’ itu bermula semalam dan diadakan bersempena Sidang
Kemuncak Halal Dunia sejak 30 Mac lepas.
Sementara itu, mengulas perkembangan industri halal negara, Mustapa
berkata Malaysia telah menjalin perkongsian strategik atau ‘hab ke hab’
dengan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Inisiatif itu antara lainnya bertujuan memanfaatkan pembangunan kedua-dua negara sebagai hab ekonomi di rantau masing-masing.
Selain menjadi rakan dagang terbesar negara, Dubai merupakan
destinasi penting kepada Malaysia berikutan kedudukan kota itu sebagai
hab pelancongan, pelaburan dan perdagangan dalam Majlis Kerjasama Teluk
(GCC).
“Kita akan bekerjasama untuk memastikan kita meraih faedah daripada
kemajuan yang dicapai oleh Dubai. Kita juga mahu menarik syarikat Dubai
untuk datang dan berniaga di Malaysia,” katanya.
Merujuk peranan Malaysia memajukan industri halal ASEAN, Mustapa
berkata negara ini berminat mengadakan perbincangan dengan negara
anggota ASEAN lain dalam usaha mempromosikan industri itu di rantau ini.
Malah segala asas yang mampu melonjakkan industri halal itu ada di
rantau ini termasuk 300 juta penduduk beragama Islam, rantau kepada
negara Islam terbesar iaitu Indonesia manakala Malaysia pula maju dalam
industri perbankan dan kewangan.
“Kita patut memanfaatkan kesemua asas mantap ini dan menggerakkan
pembangunan industri halal ini secara bersama sebagai anggota ASEAN,”
katanya.
Diminta mengulas Sidang Kemuncak Halal Dunia itu yang bertemakan
‘Mempertingkatkan Pergerakan Halal Global,’ Mustapa berkata
kementeriannya bercadang memperbanyakkan lagi segmen antarabangsa dalam
persidangan itu bagi menarik lebih banyak peserta luar negara.
Penyertaan syarikat dari negara bukan Islam pada edisi tahun ini
seperti Jepun, United Kingdom dan Belgium, turut disifatkannya berjaya
mengiktiraf peranan Malaysia sebagai pusat dagangan halal dunia. –
BERNAMA