GST: Syed Hafiz Terima 118 Aduan Pengguna Di Alor Setar

ALOR SETAR - Sebanyak 118 aduan diterima Skuad Pengguna 1 Malaysia Parlimen Alor Setar berhubung kenaikan harga barangan selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) 1 April lalu.

Pengerusinya, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa berkata, semasa tinjauan yang dibuat Rabu lalu mendapati berlaku kenaikan harga sayur-sayuran dan barangan basah antara 10 dan 30 peratus.

Katanya, kenaikan berpunca daripada harga diperoleh pembekal juga tinggi dan peruncit tetap mengambil keuntungan seperti biasa tetapi harga bekalan dinaikkan pemborong.

“Hari ini (kelmarin) kita lihat ada pihak yang mengambil peluang meraih keuntungan dalam isu ini. Berlaku situasi ada segelintir peniaga tertentu cuba mengambil peluang menaikkan harga barangan dijual kepada pembeli.

“Terdapat juga peniaga barangan jentera menaikkan harga sehingga 10 peratus dengan alasan GST sedangkan barangan yang dijual sebelum ini jauh lebih murah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Syed Abdul Hafiz yang juga Ketua Pemuda Umno Alor Setar berkata, Skuad Pengguna 1 Malaysia akan ditubuhkan di setiap parlimen di Kedah melalui pemuda Umno bahagian masing-masing.

“Justeru itu, Skuad Pemantau Harga di bawah Skuad 1 Malaysia juga akan diperluaskan ke semua kawasan parlimen. Buat masa sekarang, hanya Skuad Pemantau Harga Pemuda Alor Setar di bawah Skuad Pengguna 1 Malaysia Parlimen Alor Setar  yang bergerak aktif.

“Kita juga menyarankan rakan parti dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai Skuad Pengguna 1 Malaysia bekerjasama dengan mengambil maklumat berkaitan harga barang serta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.

Beliau berkata, Skuad Pengguna Parlimen Alor Setar turut bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Kedah (Cake) untuk mendapatkan maklumat mengenai perbezaan harga sebelum dan selepas GST dilaksanakan.

“Kita turut membekalkan senarai harga barangan kepada ahli dan peranan skuad ini hanya menyalurkan maklumat bagi mengetahui peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

“Skuad pemantau ini tidak boleh mengambil tindakan atau bertindak secara bersendirian atau membelakangkan KPDNKK. Skuad pengguna pula memainkan peranan menyampaikan maklumat mengenai peluang yang terdapat dalam agensi berkenaan,” katanya.

Difahamkan, penubuhan Skuad Pengguna 1 Malaysia Parlimen Alor Setar telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 19 September tahun lalu.

Selain itu, Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin juga bersetuju untuk membantu KPDNKK melalui rangkaian ketua pemuda bahagian yang dipengerusikan beliau sendiri. -Sinar Harian