Had Umur Pengeluaran: KWSP Minta Pendapat Pencarum


KUALA LUMPUR – Selepas dikecam teruk pelbagai pihak sebelum ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pihaknya akan mengambil kira pandangan pencarum berhubung rancangan menaikkan had umur bagi pengeluaran penuh KWSP.

KWSP dalam satu kenyataan media memberitahu bahawa pihak mereka akan memulakan program bersama pihak berkepentingan khususnya ahli KWSP pada 20 April ini bagi mendapatkan pandangan dari mereka berhubung cadangan tersebut.

“KWSP akan memastikan segala pindaan atau keputusan dibuat mengambil kira kepentingan ahli dan hanya selepas berunding dengan semua pihak berkepentingan utama. KWSP menyambut baik penyertaan ahli dalam proses ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai cadangan dan pilihan mereka di laman web rasmi KWSP di alamat, www.kwsp.gov.my, mulai 20 April 2015 ini.

Selain itu, ahli KWSP boleh memberikan pandangan dan komen berkaitan cadangan dan pilihan itu melalui i-Akaun pada hari yang berikutnya.

"Ahli boleh berkunjung ke cawangan KWSP berdekatan atau hubungi 03-8922 6000 untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan bagi tujuan pendaftaran i-Akaun," katanya.

KWSP sebelum ini mencetus kontroversi apabila mengumumkan cadangan untuk menghadkan pengeluaran penuh KWSP pada usia 60 tahun.

Cadangan itu adalah berdasarkan kajian yang mendapati bahawa kebanyakan ahli KWSP  menghabiskan wang simpanan mereka hanya dalam tempoh lima tahun selepas ia dikeluarkan.

Walau bagaimanapun, cadangan itu menerima bantahan ramai pihak termasuk orang awam, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli politik kerana menganggap langkah tersebut tidak relevan dan menganiaya pencarum. -Kedahnews.com