Hadi Awang Setuju, Sokong Pendirian PAS Permatang Pauh

ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju dengan pendirian PAS Kawasan Permatang Pauh yang menegaskan bahawa haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hukum hudud.

Mengulas berkenaan kenyataan Ketua Urusan Ulama di PAS Kawasan berkenaan, Badrul Abdul Rahman, Presiden PAS yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia itu juga menyokong pendirian para penyokong PAS di Permatang Pauh tersebut.

"Memanglah hudud, bagi orang Islam wajib.

"Kita masih dalam Pakatan Rakyat dan saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Badrul sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong PKR dan DAP apabila mendakwa adalah haram untuk mengundi parti yang menolak hudud, yang dipercayai ditujukan pada kedua parti yang jelas enggan menyokong pindaan enakmen Syariah Kelantan berhubung hudud, sebelum ini.

Dakwaan itu menyebabkan timbul tuduhan yang mengatakan PAS dan para penyokongnya di Permatang Pauh akan melakukan sabotaj terhadap calon PKR dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh kali ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa beliau akan pastikan pihaknya mengerah jentera PAS dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis untuk turun membantu calon Pakatan Rakyat di PRK tersebut.

Sementara itu, PAS Kawasan Permatang Pauh menegaskan bahawa mereka tidak akan membantu calon PKR selagi parti itu tidak memohon maaf kepada PAS dan berubah untuk menyokong pindaan enakmen hudud di Kelantan. -Kedahnews.com