TUMPAT – PAS tetap meneruskan usaha untuk melaksanakan Kanun Jenayah
Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Kelantan walaupun ditentang
oleh rakan sekutunya DAP, kata presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Ketika mengulangi pendirian PAS itu, beliau berkata tidak ada tolak ansur dalam perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud.
“Dia (DAP) bukan Islam memang dia tidak bersetuju, itu hak dia
(tetapi) dia nak paksa kita (PAS), Kelantan nak melaksanakan hudud kena
dapatkan persetujuan dia, itu tidak boleh,” katanya ketika berucap
merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tumpat di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata beliau telah beberapa kali berhujah dengan
pemimpin DAP berkaitan pelaksanaan hudud itu dan akhirnya PAS membuat
keputusan pelaksanaan undang-undang Islam itu adalah hak kerajaan PAS
Kelantan.
Anggota Parlimen Marang itu mengemukakan notis usul di Dewan Rakyat
pada 18 Mac lepas untuk membentangkan rang undang-undang itu untuk
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka
laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Rang undang-undang persendirian itu dimasukkan sebagai perkara
terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas
namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat
ditangguhkan pada 9 April.
Pada 15 April lepas, Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah
Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata
pihaknya perlu menghantar semula notis untuk membentangkan Rang
Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan rang
undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada persidangan akan
datang.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac
selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk
12 ADUN daripada Barisan Nasional (BN). – BERNAMA