SEPANG – Beg tangan jenama Channel berharga RM16,000 merupakan barang
paling mahal diisytihar di Kaunter Verifikasi Pembayaran Balik Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di sini sejak ia mula beroperasi semalam.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) KLIA Datuk Chik Omar
Chik Lim berkata beg tangan itu diisytihar semalam iaitu pada hari
pertama pengenalan Skim Pembayaran Balik Pelancongan (TRS) yang
diperkenal bersempena pelaksanaan GST.
Katanya setakat ini sebanyak 13 transaksi direkodkan di kaunter verifikasi di bawah TRS.
“Kebanyakan barang yang diisytihar adalah pakaian, jam tangan serta
pewter dan berdasarkan resit kebanyakan barang dibeli di Suria KLCC,
Pavilion dan Bukit Bintang,” katanya kepada Bernama selepas meninjau
Kaunter Verifikasi Pembayaran Balik GST di KLIA hari ini.
urut hadir Timbalan Ketua Pengarah KDRM Datuk Abdul Rahman Othman.
TRS diperkenal bertujuan memudahkan pelancong asing menuntut kembali
jumlah GST yang dibelanjakan ke atas barangan yang dibeli daripada 800
peruncit yang berdaftar di bawah skim itu.
Untuk membolehkan pelancong menuntut semula GST, mereka perlu datang
ke kaunter verifikasi lengkap dengan barangan yang perlu diisytihar;
resit pembelian; pasport; pas pelepasan dan borang tuntutan GST yang
diperoleh daripada premis (tempat membeli barang) selepas membuat
bayaran.
Menjelaskan mengenai prosedur itu, Chik Omar berkata setelah selesai
semua urusan di kuanter verifikasi tersebut, pelancong kemudian perlu ke
kaunter tuntutan bayaran bersama borang tuntutan GST yang telah
disahkan oleh Kastam.
“Kaunter tuntutan bayaran terletak di dalam balai pelepasan kerana
kami (Kastam) mahu memastikan pelancong tersebut benar-benar berlepas ke
luar negara,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata untuk memastikan tidak berlaku
unsur penipuan tuntutan semula GST bagi barang kemas, pihak Kastam turut
melakukan ujian ketulenan barang tersebut menggunakan mesin khas
dikenali sebagai “Spectometer”.
Katanya mesin yang ditempatkan di kaunter tuntutan bayaran GST di
balai pelepasan itu akan menguji jenis emas dan tahap ketumpatan logam
berkenaan yang dibeli di negara ini.
“Pegawai Kastam akan terlebih dahulu menimbang barang (kemas) yang
diserahkan oleh pelancong, kemudian barang itu akan diletak di dalam
Spectometer untuk diuji yang mengambil masa kira-kira lima minit.
“Ujian ini (barang kemas) selalunya dibuat tiga kali. Misalnya
gelang, mula-mula kami akan uji badan gelang itu dahulu, kemudian
cangkuk dan aksesori lain (jika ada seperti loceng) untuk pastikan semua
ini adalah daripada jenis emas yang sama,” jelas Abdul Rahman. –
BERNAMA